Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026 bakal kembali sebagai sebuah platform utama yang mempamerkan inovasi, reka bentuk serta teknologi terkini dalam bidang automotif. Dijadualkan berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 12-21 Jun, KLIMS 2026 merupakan sebuah acara untuk anda mempelajari lebih lanjut tentang perkembangan semasa mobiliti di Malaysia, serta memetakan apa yang boleh kita jangkakan untuk masa akan datang.
Bakal disertai oleh majoriti jenama utama yang ada di Malaysia, pengunjung berpeluang untuk menyaksikan model terkini secara lebih dekat, termasuk pelancaran produk-produk baharu yang dijadualkan bakal berlangsung di KLIMS 2026. Sesi pandu uji juga tersedia, melibatkan lebih daripada 50 buah kereta. Ini membolehkan anda merasai sendiri pengalaman bersama kereta baharu sebelum membuat keputusan untuk membelinya. Selain itu, terdapat juga model-model baharu pra-tonton serta kereta konsep yang akan membuat penampilan.
Di samping itu, KLIMS 2026 juga akan menghidangkan aktiviti interaktif seperti “Urban Play”, melibatkan laluan berhalangan yang dibina khas yang akan berlangsung dari 12-14 Jun. Terdapat juga simulator pemanduan dan trek kereta kawalan jauh untuk peminatnya. Manakala pada 13 dan 14 Jun pula, KLIMS Modified Car Battle diadakan bagi para pemilik kenderaan bersaing untuk memenangi hadiah dalam pelbagai kategori.
Sementara itu, bagi memeriahkan suasana, DJ Playground akan menjadi sudut yang bakal menghimpunkan DJ-DJ yang akan membuat persembahan dan bertanding, dengan sebuah konsert mini juga bakal diadakan pada hujung minggu sepanjang KLIMS 2026 berlangsung. Artis popular tempatan merupakan antara yang akan membuat persembahan pada hujung minggu pertama, sementara pada hujung minggu kedua pengunjung akan disajikan dengan barisan persembahan artis tempatan yang dikendalikan oleh Riuh — termasuk persembahan oleh Anuar Zain, Jemput Dengar, No Noise Percussion, FUGŌ dan banyak lagi. Pada cuti Awal Muharram (17 Jun), bekas ahli kumpulan V.E., Lah Ahmad, juga akan mengambil alih pentas untuk menghiburkan pengunjung.

KLIMS tidak berakhir di situ. Tahun ini, KLIMS 2026 juga bekerjasama dengan Litar Antarabangsa Sepang untuk mempamerkan pelbagai kereta dan motosikal lumba, serta sesi ramah mesra khas bersama para pelumba. Beberapa kelab kereta akan turut berhimpun di acara ini dan para peminat model diecast juga boleh lihat koleksi terpilih.
Tiket masuk untuk KLIMS 2026 sudah boleh didapatkan sekarang: RM30 untuk hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum bagi dewasa (12 tahun ke atas), manakala RM15 untuk warga emas (60 tahun ke atas) dan orang kurang upaya. Bagi pelajar yang mempunyai kad pengajian yang sah, mereka boleh mendapatkan tiket pada kadar tetap hanya RM15.
Memandangkan acara KLIMS 2026 merupakan agenda berskala besar dan pelbagai aktiviti menarik bakal tersedia sepanjang 10 hari, pengunjung pasti ingin kunjung ke KLIMS sekali lagi. Oleh itu, jika anda merancang untuk melakukan kunjungan berulang, manfaatkan pas akses tanpa had untuk sepuluh hari dengan hanya RM80. Sekiranya anda ingin berkongsi pengalaman KLIMS 2026 dengan keluarga atau rakan-rakan, pas pakej lima orang turut ditawarkan dengan harga hanya RM100.
Untuk maklumat lanjut berkaitan KLIMS 2026, layari laman web rasmi acara dan nantikan kemaskini di laman rasmi Facebook, TikTok dan Instagram KLIMS.
The post Pandu uji lebih 50 buah kereta dan alami teknologi mobiliti terkini di KLIMS 2026 — 12-21 Jun di MITEC appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















