Selepas pertama kali diperkenalkan semasa Chery International User Summit tahun lalu, model produksi Omoda C4 sekali lagi mencuri perhatian apabila dipamerkan di acara Auto China di Beijing. Semasa acara tersebut, wakil Omoda & Jaecoo Malaysia mengesahkan bahawa SUV segmen B ini akan memasuki pasaran Malaysia, sekaligus memperluaskan barisan model Omoda yang turut bakal merangkumi Omoda C7. Untuk rekod, model Omoda 5 juga sudah berada di pasaran tempatan tetapi dijual di bawah jenama Chery.
Dalam perkembangan sama, Omoda C4 akan ditawarkan dengan pilihan enjin petrol turbo dan varian hibrid. Versi hibrid ini hadir dengan lencana baru SHS-H, yang merujuk kepada sistem Super Hybrid System. Kedua-dua varian menggunakan enjin 1.5 liter empat silinder, dan berkemungkinan berkongsi trenkuasa dengan Chery Tiggo Cross.
Sebagai rujukan, Tiggo Cross versi turbo menghasilkan kuasa sekitar 147 PS dan tork 210 Nm, disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi klac berkembar enam kelajuan. Bagi varian hibrid pula, ia digerakkan oleh motor elektrik yang menjana 204 PS dan 310 Nm, manakala enjin petrol NA dengan output 96 PS dan 120 Nm akan membantu pada kelajuan tinggi menerusi transmisi hibrid khusus satu kelajuan.
Pendekatan ini membezakan Omoda C4 daripada model berkait rapat dengannya, iaitu Jaecoo J5. Model tersebut menggunakan enjin turbo yang sama tetapi digandingkan dengan transmisi CVT. Di pasaran luar, model juga ditawarkan dalam versi elektrik sepenuhnya dengan kuasa 211 PS dan tork 280 Nm, bersama bateri LFP berkapasiti 58.9 kWh yang memberikan jarak pemanduan sehingga 461 km mengikut kitaran NEDC, namun varian ini tidak ditawarkan di Malaysia.
Dari aspek rekaan, Omoda C4 menampilkan gaya yang agresif dengan gabungan garisan lurus dan sudut tajam. Bahagian hadapan tampil dengan muncung yang menonjol, spoiler bawah bampar, lampu utama berbentuk X serta grafik hitam menyerupai topeng. Garisan badan yang bersilang dan lampu belakang berbentuk kilat menambah karakter futuristik, manakala rim 18 inci dua tona kini hadir dengan rekaan baru ala turbin.
Di ruang kabin, SUV ini dilengkapi skrin infotainmen besar berorientasikan menegak seperti yang terdapat pada J5. Bezanya, paparan instrumen digital pada C4 adalah unit berwarna penuh, tidak seperti paparan LCD ringkas pada J5.
Turut disediakan ialah dua pemegang telefon pintar, salah satunya menyokong pengecasan tanpa wayar Qi, serta kawalan fizikal minimum dalam dua barisan. Antara ciri menarik ialah butang penghidup enjin dengan penutup merah ala Lamborghini yang boleh dibuka ke atas.
Dalam perkembangan berasingan, Omoda & Jaecoo Malaysia turut mengesahkan bahawa Omoda C7 akan dilancarkan di Malaysia tahun ini. Model SUV segmen C itu sebelum ini pernah dipamerkan di Malaysia Autoshow pada Mei tahun lalu dan beberapa kali dikesan menjalani ujian di jalan raya tempatan sehingga November, sebelum senyap seketika.
Untuk pasaran tempatan, Omoda C7 dijangka diperkenalkan terlebih dahulu dalam versi enjin petrol tulen yang menghasilkan 197 PS dan 290 Nm daripada enjin 1.6 liter turbo empat silinder, dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Selain itu, versi plug-in hybrid juga dijangka menyusul, menggunakan trenkuasa SHS yang sama seperti pada Jaecoo J7 PHEV.
GALERI: Omoda C4 di Auto China 2026
GALERI: Omoda C7 di Malaysia Autoshow 2026
The post Omoda C4 bakal tiba di Malaysia – SUV segmen B petrol 1.5T atau hibrid SHS-H, C7 lancar tahun ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















































