Ketua Pengarah Jabatan pendaftaran Negara (JPN) Datuk Badrul Hisham Alias mendedahkan bahawa MyKad baharu, yang dijangka akan diperkenalkan pada bulan hadapan, tidak akan memiliki fungsi seperti kad Touch ‘n Go (TnG), laporan Bernama.
Mengapa perkara ini tidak pernah didedahkan secara rasmi – mungkin atas faktor keselamatan dan risiko kecurian. Namun begitu, kad Touch ‘n Go anda juga boleh dicuri dengan mudah, dan anda sentiasa boleh menamatkan kad tersebut sekiranya berlaku kecurian serta mendapatkan semula wang anda dengan mengikut prosedur yang ditetapkan termasuk membuat laporan polis.
Secara peribadi, kami mendapati ciri MyKad dengan fungsi Touch ‘n Go amat berguna, apatah lagi MyKad sentiasa bersama kita dan membuatkan kita tidak perlu membawa kad TnG secara berasingan. Ia juga sangat berguna dalam situasi kecemasan, seperti apabila kita secara tidak sengaja tertinggal kad TnG dalam kereta lain – tapi masih boleh membayar tol, parkir atau menaiki pengangkutan awam termasuk LRT dengan menggunakan Mykad yang ada fungsi seperti TnG.

Tetapi Mykad tidak menyokong fungsi NFC jadi kita tidak boleh menambah nilai menggunakan telefon pintar, setakat itulah kelemahan yang cukup ketara.
Namun demikian, anda tidak digesa untuk menukar Mykad kepada versi yang baharu ini. Menteri KDN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, “Undang-undang hanya mewajibkan setiap warganegara memiliki MyKad apabila mencapai usia 12 tahun, namun tidak menetapkan semua pemegang MyKad sedia ada perlu menukar kad mereka secara serentak.”
Memetik laporan Berita Harian, beliau berkata, pengenalan MyKad generasi baharu itu bertujuan memperkukuh aspek keselamatan dokumen pengenalan diri negara melalui penambahan ciri keselamatan terkini.
The post MyKad baharu tiada fungsi Touch ‘n Go – JPN appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















