Setelah beberapa bulan tertangguh, akhirnya MyDigital ID sebagai sistem log masuk tunggal (Single Sign-On) bagi aplikasi MyJPJ sudah sedia untuk dilaksana berkuat kuasa Jumaat ini, 1 Mei 2026.

Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan JPJ), pelaksanaan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pendigitalan perkhidmatan awam yang bertujuan memperkukuh tahap keselamatan siber, meningkatkan kecekapan sistem penyampaian serta memudahkan akses pengguna kepada pelbagai perkhidmatan JPJ melalui satu identiti digital yang sah dan diiktiraf.

“Melalui pendekatan ini, pengguna hanya perlu menggunakan MyDigital ID sebagai kaedah pengesahan utama untuk mengakses Aplikasi MyJPJ, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pelbagai maklumat log masuk serta meminimumkan risiko keselamatan data, ” kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

Aplikasi Pintar MyJPJ merupakan platform bersepadu yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada orang awam termasuk semakan dan pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM), Lesen Kenderaan Motor (LKM), semakan saman serta akses kepada perkhidmatan berkaitan JPJ secara dalam talian. Sehingga kini, aplikasi ini telah merekodkan melebihi 14 juta pengguna.

MyDigital ID sebagai sistem log masuk tunggal bagi aplikasi MyJPJ bakal dilaksana berkuat kuasa 1 Mei ini

Versi baharu aplikasi ini turut dipertingkat dengan pelbagai ciri tambahan seperti integrasi MyDigital ID, fungsi mod tetamu (guest mode) tanpa log masuk, chatbot pintar beroperasi 24 jam, serta integrasi JPJeBid dan JPJeQ dalam satu platform tunggal.

“Sehubungan dengan itu, semua pengguna MyJPJ yang berumur 12 tahun ke atas adalah digalakkan untuk mendaftar dan mengaktifkan MyDigital ID selaras dengan pelaksanaan penuh sistem ini. Bagi pengguna pemegang MyPR, kaedah log masuk sedia ada akan terus disediakan melalui saluran alternatif yang ditetapkan.

“Pelaksanaan log masuk tunggal ini mencerminkan komitmen berterusan JPJ dalam memperkasa transformasi digital jabatan serta memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien, selamat dan mesra pengguna,” katanya lagi.

The post MyDigital ID sebagai sistem log masuk tunggal bagi aplikasi MyJPJ bakal dilaksana berkuat kuasa 1 Mei ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts