Rapid KL memaklumkan bahawa perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling bergerak dalam mod operasi sementara bermula hari ini, 3 Jun 2026. Ini adalah susulan selesainya sebahagian besar daripada kerja-kerja baik pulih yang dijalankan ekoran kejadian tren tergelincir di landasan berhampiran Stesen Chan Sow Lin minggu lalu.
Menurut syarikat tersebut, perjalanan di antara Putra Heights dan Sentul Timur akan beroperasi seperti sediakala tanpa perlu membuat sebarang pertukaran tren. “Penumpang yang melakukan perjalanan dari Ampang ke Sentul Timur, serta dari Sentul Timur ke Ampang cuma perlu membuat satu pertukaran di Stesen Chan Sow Lin. Ini akan menambah hanya kira-kira lima minit kepada waktu perjalanan keseluruhan ketika waktu puncak.
“Di bawah mod operasi sementara ini juga, kakitangan sokongan akan terus ditempatkan di stesen-stesen utama bagi memastikan perjalanan penumpang kekal lancar, khususnya dengan jangkaan peningkatan jumlah penumpang selepas cuti panjang,” kata Rapid KL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Bagi menyokong pengoperasian ini, Rapid KL berkata, perkhidmatan sebanyak 10 buah bas perantara percuma disediakan untuk penumpang di laluan Stesen Chan Sow Lin-Stesen Masjid Jamek-Stesen Bandaraya dan Stesen Chan Sow Lin-Stesen Maluri-Stesen Pandan Jaya-Stesen Ampang. Kekerapan perkhidmatan itu antara 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa.
Mod operasi sementara bagi perkhidmatan LRT ini adalah seperti info grafik di bawah:

Berkenaan dengan kerja-kerja baikpulih pula, Rapid KL berkata, pasukan kejuruteraab dan teknikalnya telah melaksanakan pelbagai kerja pembaikan, penggantian komponen yang terjejas serta pemulihan sistem berkaitan, termasuk pemeriksaan menyeluruh ke atas aset tren dan infrastruktur bagi memastikan tahap keselamatan, kebolehpercayaan dan prestasi operasi berada pada tahap optimum.
“Kerja-kerja tersebut turut melibatkan proses mengalih dan mengangkat semula tren yang terlibat ke atas landasan sebelum kesemua gerabak dibawa pulang ke depot untuk pemeriksaan dan penilaian menyeluruh. Namun, beberapa pemeriksaan tambahan, pengesahan teknikal, pelarasan sistem serta pemantauan khusus masih diteruskan bagi memastikan semua aspek operasi dan infrastruktur memenuhi piawaian keselamatan.
“Sepanjang tempoh baik pulih dijalankan, kira-kira 400 orang petugas yang terdiri daripada Rapid Troopers, anggota Polis Bantuan dan petugas operasi di stesen-stesen yang terlibat telah diaktifkan bagi membantu pergerakan penumpang, memberikan panduan perjalanan serta menyalurkan maklumat terkini,” jelasnya.
Penumpang disaran untuk terus mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini perkhidmatan menerusi saluran media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE.
The post LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dalam mod operasi sementara mulai hari ini – kerja baikpulih lancar appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















