Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah purata trafik harian di lebuh raya utama serta lebuh raya sambungan akan mencecah sehingga 3.3 juta kenderaan pada hari-hari puncak sempena Perayaan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada 27 Mei ini dan turut bertembung dengan cuti umum (Hari Wesak dan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong) serta cuti persekolahan yang bermula hari ini.
Ketua Pengarah LLM, Ir Mohd Hadzmir Yusoff, berkata pertambahan jumlah kenderaan itu dijangka akan berlaku secara berperingkat bermula hari ini sehingga 7 Jun ini. Di mana lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dijangka merekodkan jumlah unjuran trafik tertinggi dengan 2.2 juta kenderaan diikuti dengan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) sebanyak 283,000 kenderaan.
Manakala Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) dijangka mencapai unjuran trafik sebanyak 209,000 kenderaan, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat WCE (151,000), Lebuhraya Kajang – Seremban atau LEKAS (137,000) Lebuhraya Kuala Lumpur – Kuala Selangor atau LATAR (125,00), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 atau LPT1 (106,00) dan LPT2 (50,000).

Mohd Hadzmir menambah, LLM sudah mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya melaksanakan beberapa langkah proaktif bagi memastikan perjalanan pengguna lebih selamat dan lancar sepanjang tempoh perayaan.
“Antara langkah berkenaan adalah tiada penutupan lorong kecuali untuk kerja kecemasan bermula 23 Mei hingga 2 Jun, pengaktifan 34 lokasi Smart Lane termasuk di lebuh raya PLUS, memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik serta pelaksanaan kutipan berlapis di plaza tol kritikal.
“Selain itu, kami akan melakukan pemeriksaan operasi lebuh raya dan kemudahan di Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah, penyediaan 65 tandas mudah alih dengan bekalan air mencukupi serta penambahan parkir dan petugas termasuk RELA di kawasan R&R,” katanya.
Dalam masa yang sama, LLM turut menasihatkan pengguna agar merancang perjalanan, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mempunyai baki Touch ‘n Go, e-wallet dan kad debit mencukupi. Tambahnya, pengguna juga harus mematuhi arahan pengaktifan Smart Lane dan penunggang motosikal lebih berhati-hati serta digalakkan berteduh di 571 lokasi motorcycle shelter ketika cuaca buruk.
Pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik semasa serta sebarang insiden di lebuh raya melalui media sosial rasmi LLM iaitu Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia dan TikTok @llmtrafik, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.
The post LLM jangka 3.3j kenderaan di lebuh raya utama hingga 7 Jun sempena Aidiladha, cuti sekolah dan cuti umum appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















