Dua tahun selepas diperkenalkan di China, Leapmotor C10 kini diberikan kemas kini (facelift) dengan imej rasmi model terbaru itu didedahkan lebih awal sebelum pelancaran rasminya di pasaran domestik pada 16 Jun ini.
Dari segi reka bentuk luaran, Leapmotor C10 tampil dengan perubahan yang lebih moden berbanding model sedia ada. Bahagian hadapan kini menggunakan rekaan lampu hadapan berpecah seperti yang diperkenalkan pada model Leapmotor B10.
Lampu nyalaan siang LED baru dengan grafik bercorak petak disambungkan menerusi jalur lampu penuh, manakala unit lampu utama diposisikan secara menegak di bawahnya. Bampar hadapan turut direka semula dengan penggunaan warna badan yang lebih ketara bagi memberikan penampilan yang lebih kemas dan premium.
Di bahagian belakang, rekaan lampu LED penuh merentasi lebar kenderaan dikekalkan tanpa perubahan besar. Namun, model facelift ini menerima pilihan rim baru termasuk rim aloi dwi-spoke bersaiz 20 inci yang menggantikan reka bentuk terdahulu yang diinspirasikan daripada logo trident Maserati.
Ruang kabin turut menerima transformasi yang ketara. Papan pemuka yang sebelum ini kelihatan ringkas digantikan dengan rekaan berlapis yang lebih moden serta menyembunyikan sistem lampu suasana secara lebih kemas. Panel pintu juga diberikan sentuhan rekaan yang lebih menarik dan premium.
Seperti kebanyakan model keluaran China terbaru, konsol tengah kini menempatkan dua ruang pemegang telefon pintar yang digabungkan dengan satu pengecas tanpa wayar Qi. Pemegang cawan pula disusun secara mendatar di bahagian belakang konsol tersebut bagi meningkatkan kemudahan penggunaan.
Dari aspek teknologi, paparan instrumen digital dilihat lebih nipis berbanding sebelumnya. Pada masa yang sama, model ini sekarang dilengkapi paparan head-up display (HUD) serta skrin infotainmen yang lebih besar. Antara penambahbaikan yang diharapkan untuk model pasaran global ialah sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, memandangkan ciri tersebut tidak ditawarkan pada model semasa.
Keselesaan turut dipertingkatkan menerusi tempat duduk hadapan yang kini dilengkapi ottoman binaan dalam serta fungsi rebahan “Zero Gravity” yang boleh diaktifkan dengan satu sentuhan. Penumpang belakang pula menerima meja lipat serta dua pemegang cawan tambahan yang disembunyikan di bahagian konsol tengah.
Setakat ini, Leapmotor masih belum mendedahkan spesifikasi teknikal penuh model facelift tersebut. Namun, laporan awal menyatakan varian elektrik sepenuhnya akan menerima peningkatan kuasa kepada 313 PS (230 kW), manakala bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) masih dikekalkan walaupun kapasiti sebenarnya belum diumumkan.
Untuk pasaran Malaysia, Leapmotor telah memperkenalkan C10 Plus pada awal tahun ini yang sudah menerima beberapa naik taraf. Model tersebut menggunakan motor elektrik belakang yang menghasilkan 299 PS (220 kW), meningkat daripada 218 PS (160 kW) sebelum ini.
Selain itu, C10 Plus turut dibekalkan dengan bateri lebih besar berkapasiti 81.9 kWh yang membolehkan jarak perjalanan sehingga 510 km mengikut piawaian WLTP, iaitu peningkatan sebanyak 86 km berbanding model terdahulu.
Sistem elektrik 800 volt yang diperkenalkan juga membolehkan pengecasan pantas DC sehingga 180 kW, meningkat daripada hanya 84 kW sebelum ini. Hasilnya, bateri boleh dicas dari 30 hingga 80 peratus dalam masa hanya 22 minit.
Di China, Leapmotor C10 turut ditawarkan dalam versi Range Extender Electric Vehicle (REEV). Model facelift ini dijangka mengekalkan enjin petrol 1.5 liter yang menghasilkan 95 PS (70 kW), namun kuasa motor elektriknya akan ditingkatkan sebanyak 41 PS (30 kW) kepada 272 PS (200 kW).
Bagi pasaran Malaysia, model Leapmotor C10 facelift dijangka tiba sekitar tahun hadapan. Namun sebelum itu, model semasa akan mula dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Stellantis di Gurun, Kedah. Projek pemasangan tempatan ini mengalami kelewatan yang agak lama kerana pada asalnya dijadualkan bermula penghujung tahun lalu, tetapi hanya berjaya dimulakan baru-baru ini.
The post Leapmotor C10 facelift didedah – muka hadapan lebih moden, dalam lebih kemas, lancar di China 16 Jun appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




























