Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengumumkan info terkini mengenai harga tiket bagi acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026, yang akan berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) pada 12 hingga 21 Jun 2026.
Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, kemasukan ke pameran adalah percuma pada hari bekerja, dengan waktu operasi dari 10 pagi hingga 8 malam. Pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum, waktu operasi akan dilanjutkan dari 10 pagi hingga 10 malam, dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun boleh masuk secara percuma, manakala tiket dewasa bagi hari-hari tersebut berharga RM30, diselaraskan daripada RM25 yang disebut sebelum ini. Pada hari-hari tersebut, harga tiket untuk pelajar (dengan kad pelajar sah), OKU dan warga emas (berumur 60 tahun ke atas) ialah RM15.
Dari sekarang hingga 10 Mei, terdapat harga promosi ‘early bird’ khas untuk tiket Jumaat hingga Ahad/cuti umum, dengan tiket dewasa berharga RM15 dan untuk OKU serta warga emas hanya RM8. Anda juga boleh menyertai KLIMS Run 2026 dengan fi RM40 untuk larian 5 KM dan RM45 bagi 7 KM dan setiap penyertaan bakal mendapat tiket percuma ke pameran tersebut.

Jika anda inginkan pengalaman penuh boleh mendapatkan Pas Akses Tanpa Had yang merangkumi semua akses sepanjang minggu pameran pada harga hanya RM80 (bersamaan RM11.40 sehari). Jika secara berkumpulan lima orang atau lebih pula boleh mendapatkan pas pakej lima orang pada harga RM100, iaitu hanya RM20 seorang.
Seperti KLIMS yang diadakan pada tahun 2024, edisi ke-11 pameran automotif ini akan terus membawa tema ‘Beyond Mobility’. Acara ini dianjurkan oleh MAA dengan kerjasama Qube Integrated Malaysia serta sokongan Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii), bersama beberapa persatuan lain, dan setakat ini sebanyak 16 jenama kereta telah mengesahkan penyertaan.
Jenama-jenama tersebut, ialah Dongfeng, GWM, Honda, Hyundai, Jetour, Kia, Mazda, MG, Nissan, Perodua, Proton (termasuk Proton eMas), smart, Toyota, Weststar Maxus, Xpeng dan Zeekr.
The post KLIMS 2026 – tiket dari RM8 hingga RM15 untuk hujung minggu, kemasukan percuma bagi hari bekerja appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















