Jabatan Pengangkutan Jalan mengesahkan ada menerima beberapa aduan berkaitan dakwaan pertukaran hak milik nombor pendaftaran kenderaan tanpa kebenaran pemilik asal. Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya memandang serius kes berkenaan dan akan mengambil tindakan berdasarkan hasil siasatan, laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian susulan seorang ahli perniagaan perkhidmatan kereta sewa mendakwa Toyota Alphard milik syarikatnya dengan nombor pendaftaran P111, telah dipindah hak milik tanpa kebenaran selepas disewakan kepada ejen kereta sewa Januari lalu. Kenderaan tersebut juga didakwa dibawa ke sebuah bilik pameran kereta terpakai di Puchong, Selangor tanpa pengetahuannyanya.

“Memang pihak kami ada menerima beberapa aduan berkaitan dakwaan pertukaran hak milik nombor pendaftaran kenderaan tanpa kebenaran pemilik asal. Kami daripada masa ke semasa akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan prosedur dan perundangan semasa,” kata Aedy Fadly..

Beliau turut menegaskan bahawa JPJ komited membantu pemilik kenderaan terbabit dan tindakan lanjut yang akan diambil bergantung kepada hasil siasatan termasuk membabit proses pertukaran hak milik.

JPJ siasat dakwaan pertukaran hak milik nombor pendaftaran kenderaan tanpa kebenaran pemilik asal

“Pihak kami akan bantu tetapi ia bergantung kepada tatacara pertukaran hak milik itu sendiri. Jadi siasatan perlu dibuat terlebih dahulu dan kita perlu kenal pasti peruntukan undang-undang yang boleh digunakan. Ada kemungkinan dakwaan itu tidak tepat, contohnya pemilik merasakan nombor itu miliknya sedangkan ia telah ditukar hak milik secara sah sebelum ini,” katanya.

Walau bagaimana pun, ketika ditanya mengenai punca kemungkinan kes itu, Aedy Fadly tidak menolak ia berkait kecurian maklumat selain pembabitan `orang dalam’. Dalam masa sama, beliau memaklumkan JPJ tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan seperti mengembalikan nombor kepada pemilik asal tanpa siasatan terperinci.

“Saya tidak nafikan kemungkinan itu, tetapi kita tidak boleh membuat kesimpulan awal. Mungkin terdapat isu lain yang timbul yang kita tidak ketahui. Siasatan perlu dijalankan dengan terperinci,” katanya.

The post JPJ siasat dakwaan pertukaran hak milik nombor pendaftaran kenderaan tanpa kebenaran pemilik asal appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts