Ketika Honda Super One didedahkan sepenuhnya April lalu, Honda sememangnya sudah membayangkan bahawa EV kompak berkenaan merupakan model kelahiran semula hatchback comel era 80’an, Honda City Turbo II yang juga diberi gelaran sebagai ‘City Bulldog’. Dan bagi memberikan imej yang lebih dekat kepada City Turbo II berkenaan, Honda kini memperkenalkan pakej aksesori asli dari Honda Access digelar sebagai Bulldog Style yang direka khas untuk EV Super One.
Pakej aksesori ini menampilkan beberapa komponen utama termasuk lampu kabus hadapan berwarna kuning, inspirasi lampu kabus petak City Turbo II yang juga berwarna kuning. Ia juga hadir dengan pelekat badan ‘Bulldog Electric Power’ dilekat pada pintu hadapan yang direka dengan font sama seperti pelekat ‘Turbo II with intercooler’ yang ikonik, dilekat pada pintu City Turbo II asli. Pelekat yang sama tetapi lebih kecil turut dilekatkan pada bampar hadapan dan pintu tailgate belakang Super One Bulldog Style ini.
Selain itu pakej Bulldog Style ini juga hadir dengan set rim aloi asli Honda Access ME-027 berdiameter 15-inci dalam kemasan Berlina Black, spoiler bumbung yang jauh lebih besar dalam kemasan Crystal Black Pearl serta set emblem dan logo Honda dalam kemasan hitam krom. Honda Access turut ada menawarkan aksesori lain untuk Super One ini yang tidak termasuk dalam pakej Bulldog Style seperti perapi-perapi dalaman kemasan gentian karbon serta set pedal aluminium.
Honda Super One ini diasaskan dari platform N Series, iaitu barisan model K-Car Honda di Jepun seperti N-One, N-Box, N-WGN, dan juga EV N-One e:. Tidak seperti siri K-Car berkenaan yang hanya dijual di Jepun, Super One adalah model global yang akan dijual di seluruh dunia termasuk Eropah dan Asia.
Berbanding N-One e: biasa, Super One menampilkan keempat-empat fender yang lebih lebar bagi memberikan rupa yang lebih ‘berotot’. Ia menghasilkan rupa yang lebih stabil dan garang dan bagi membolehkan ia diberikan jarak trek roda yang lebih lebar, yang tentunya memberikan cengkaman dan kestabilan badan lebih baik. Dengan saiz lebih lebar ini juga, Super One bukan lagi Kei-Car, tetapi Honda meletakkan ia dalam saingan model segmen-A.
Untuk unit rangkaian kuasa, Super One ini masih dibekalkan dengan motor elektrik tunggal yang sama seperti N-One e: biasa, menghasilkan kuasa maksima yang dihadkan dalam undang-undang Kei-Car Jepun iaitu 64 PS serta tork 162 Nm. Namun apa yang berbeza, Super One diberikan butang mod Boost berwarna ungu pada roda stereng yang akan melepaskan kuasa maksima 95 PS.
Motor elektrik berkenaan memacu roda hadapan, dan apa lagi yang istimewa pada unit rangkaian kuasa Super One ini ia turut dibekalkan dengan sistem Active Sound Control seperti pada Prelude generasi baharu yang menghasilkan bunyi enjin palsu, serta rasa tukaran gear palsu yang tajam (lengkap dengan pedal penukar gear) seolah-olah ia dipadankan dengan kotak gear tujuh kelajuan, di mana pada hakikatnya ia juga tidak mempunyai kotak gear seperti kereta dengan enjin pembakaran dalaman.
Buat masa ini tiada perincian berkenaan prestasi seperti pecutan 0-100 km/j mahupun kelajuan maksima yang boleh dicatatkan. Honda juga tidak mendedahkan kapasiti bateri yang dibekalkan pada Super One ini, namun ia disahkan boleh bergerak sejauh 205 km dalam kitaran ujian WLTP.
Pada bahagian dalaman, Super One ini masih menampilkan papan pemuka dengan rupa asas yang sama seperti N-One e:, menampilkan skrin sesentuh sistem infotainmen sembilan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto dan paparan instrumen digital tujuh-inci.
Namun versi lebih berkuasa ini tampil dengan rekaan grafik tiga tolok utama pada instrumen digital tersebut untuk bacaan suhu bateri, kuasa dan juga meter RPM palsu sekiranya butang Boost ditekan, dan dilengkapi tempat duduk lebih sporty kemasan hitam-biru-putih dengan sokongan bucket pada bahagian pinggang, seakan rekaan tempat duduk Honda City Turbo II. Dengan menekan butang mod Boost itu juga turut akan menukar nyalaan lampu suasana kabin dari biru kepada ungu.
Model ini juga datang standard dengan sistem bunyi Bose lapan-pembesar suara, bersama subwoofer 13.1 liter yang diletakkan pada bawah lantai but belakang.
Honda Super One ini telah dilihat diuji di jalan raya awam Malaysia pada November tahun lalu, petanda awal bahawa ia mungkin akan tiba ke pasaran tempatan, termasuk dalam enam model yang dirancang untuk dilancarkan oleh Honda Malaysia tahun ini.
Namun dengan polisi EV CBU diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini yang menetapkan mana-mana EV yang diimport mesti mempunyai nilai minimum kos, insurans dan pengangkutan (CIF) yang diisytiharkan sebanyak RM200,000, dan output kuasa minimum 180 kW (bersamaan dengan 245 PS atau 241 hp) bermula 1 Julai ini, rancangan Honda Malaysia untuk membawa Super One secara rasmi mungkin terpaksa dibatalkan. Tapi kalau anda berminat juga, mungkin perlu tunggu unit recond yang dibawa oleh pengimport persendirian.
The post Honda Super One Bulldog Style – pakej aksesori Honda Access inspirasi Honda City ‘Bulldog’ Turbo II appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





























