Selepas hanya ditawarkan dalam versi elektrik sepenuhnya, BYD M6 kini muncul dalam versi plug-in hybrid, diperkenalkan di Indonesia bagi memperluaskan penawaran MPV popular tersebut. Langkah ini juga dilihat sebagai usaha pengeluar dari China itu untuk menarik lebih ramai pengguna yang masih belum bersedia beralih sepenuhnya kepada kenderaan elektrik, terutama ketika kos bahan api dan harga kenderaan terus meningkat.
Dari segi reka bentuk, varian yang dipanggil sebagai BYD M6 DM ini menerima perubahan ketara pada bahagian hadapan menerusi penggunaan gril bersaiz besar yang mengingatkan kepada model BYD e6 terdahulu, namun dengan bukaan lebih luas bagi membantu aliran udara ke enjin petrol. Rekaan tersebut dipadankan bersama liang udara berbentuk L di bahagian bucu bampar, manakala lampu utama LED multi-projector serta lampu nyalaan siang berbentuk L dikekalkan.
Model ini turut tampil dengan kemasan lebih lasak menerusi penggunaan pelindung badan plastik hitam dan lengkuk roda yang lebih menonjol, memberikan elemen crossover ala SUV. Di bahagian belakang pula, terdapat kemasan skid plate berwarna perak yang menambah imej sporty.
Lencana “Cross” pada pintu belakang memberi bayangan bahawa BYD mungkin akan menawarkan varian crossover ini secara berasingan daripada versi standard yang dijangka hadir dengan penampilan lebih ringkas. Penampilan luaran turut dilengkapkan dengan cermin sisi dan antena sirip jerung berwarna hitam berkilat serta rim aloi baru bersaiz 17 inci.
Meskipun BYD masih belum mendedahkan sepenuhnya gambar ruang kabin M6 DM tujuh tempat duduk ini, sekeping gambar yang dikongsikan oleh AutonetMagz menunjukkan beberapa perubahan penting dilakukan. Antaranya termasuk pemindahan suis gear dari konsol tengah ke belakang stereng, selain panel meter analog yang kini digantikan dengan paparan digital sepenuhnya. Skrin infotainmen bersaiz 12.8 inci di tengah papan pemuka juga dipercayai tidak lagi menyokong fungsi putaran seperti sebelum ini.
Dari sudut mekanikal, BYD M6 DM menggunakan sistem hibrid Dual Mode generasi kelima seperti yang digunakan pada Sealion 5 DM-i. Ia menggabungkan enjin petrol empat silinder 1.5 liter NA yang menghasilkan 99 PS dan 125 Nm bersama transmisi hibrid khas satu kelajuan (DHT) serta motor elektrik. Jumlah kuasa motor elektrik belum diumumkan secara rasmi, namun ia dijangka menggunakan unit sama yang menghasilkan 163 PS dan 210 Nm, sekaligus memberikan jumlah keseluruhan sekitar 210 PS dan 210 Nm.
Jika dibandingkan dengan versi elektrik paling berkuasa, angka kuasa tersebut meningkat sebanyak 6 PS namun tork berkurang sehingga 100 Nm. Kesan daripada perubahan itu menyaksikan pecutan 0-100 km/j mengambil masa 9.1 saat, iaitu sekitar setengah saat lebih perlahan berbanding versi EV sepenuhnya.
Seperti kebanyakan model BYD lain, M6 DM turut menggunakan bateri Blade berasaskan teknologi LFP. Namun begitu, kapasiti bateri serta jarak pemanduan elektrik sepenuhnya masih belum didedahkan. Apa yang menarik perhatian ialah dakwaan kecekapan bahan api yang mencapai sehingga 65 km bagi setiap liter, satu angka yang cukup tinggi bagi sebuah MPV bersaiz sederhana.
Setakat ini, harga rasmi dan tarikh pelancaran BYD M6 DM di Indonesia masih belum diumumkan. Namun, memandangkan sesi pandu uji sudah mula dibuka di negara tersebut, pelancaran rasminya dijangka berlangsung dalam masa terdekat. Persoalannya, adakah model ini sesuai dibawa masuk ke pasaran Malaysia?
The post BYD M6 DM didedah di Indonesia – MPV PHEV dengan enjin NA 1.5L 99 PS, penggunaan bahan api 65 km/l appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















