Sejak kebelakangan ini ada beberapa aduan yang mendakwa maklumat MyKad disalahgunakan tanpa kebenaran bagi transaksi di bawah program Budi Madani RON95 (Budi95). Perkara ini turut mendapat perhatian serius Kementerian Kewangan (MoF) yang menegaskan bahawa penggunaan atau pemilikan MyKad milik orang lain tanpa kuasa yang sah merupakan satu kesalahan serius di bawah Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Sehubungan dengan itu, MoF memberi amaran keras supaya tiada pihak menggunakan nombor atau maklumat MyKad milik individu lain tanpa kebenaran bagi mendapatkan manfaat subsidi Budi95.
“Dalam masa yang sama, MoF telah mengarahkan pengusaha stesen minyak supaya memperketat pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) pengesahan MyKad bagi setiap transaksi Budi95. Sebarang urus niaga yang dilakukan secara manual tanpa pengesahan fizikal MyKad terlebih dahulu adalah tidak dibenarkan kerana la membuka ruang kepada transaksi tanpa kebenaran, penyalahgunaan subsidi dan pelanggaran integriti pelaksanaan program,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam masa yang sama, MoF juga telah mengarahkan pengusaha stesen minyak untuk menjalankan siasatan lanjut ke atas transaksi yang dikenal pasti melanggar SOP, dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap stesen yang terlibat, serta memperkukuh pemantauan dalaman bagi memastikan pematuhan berterusan di semua stesen minyak.

Tambahnya, langkah-langkah pembetulan turut dikeluarkan, termasuk latihan semula kepada kakitangan barisan hadapan, pemaparan SOP di kaunter pembayaran, serta penyaluran dan pampasan yang bersesuaian kepada pelanggan yang terkesan, tertakluk kepada hasil siasatan.
“Pengusaha stesen minyak juga telah diarahkan untuk menghubungi pemegang MyKad yang terkesan bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut. MoF akan terus memantau corak transaksi Budi95 di semua stesen minyak dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan SOP atau penyalahgunaan subsidi bersasar,” katanya lagi.
MoF turut berkata, penerima Budi95 digalakkan untuk menyemak rekod transaksi mereka di portal https://www.budi95.gov.my dan segera membuat laporan polis sekiranya terdapat transaksi tanpa kebenaran.
Mana-mana penerima Budi95 yang terkesan akibat transaksi tanpa kebenaran boleh membuat aduan dalam tempoh 30 hari selepas kejadian kepada Pusat Khidmat Budi Madani yang beroperasi 24 jam sehari (talian 1300-88-9595, WhatsApp di +603-2631 4595, atau e-mel ke [email protected]) dengan melampirkan dokumen seperti laporan polis yang menyatakan tarikh, masa dan butiran stesen minyak, salinan kad pengenalan dan senarai transaksi yang dikemukakan dalam laporan polis.
Baru-baru ini, seorang pekerja stesen minyak warga asing didenda RM10,000 oleh mahkamah majistret selepas mengaku bersalah atas kesalahan menyalahgunakan dua MyKad untuk pembelian petrol Budi95.
The post Budi95: MoF arah pengusaha stesen minyak perketat SOP pengesahan MyKad bagi bendung salah guna appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















