Turut dilancarkan bersama Moucca 250 untuk pasaran Malaysia adalah Brixton 625V, dijual pada harga RM26,888 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dalam tiga warna iaitu hitam, hijau dan perak.
Membawa bentuk sebuah cruiser, 625V hadir dengan lampu jenis LED di hadapan dan belakang, serta rim aluminium yang terdiri daripada saiz 18 inci, dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 16 inci dengan tayar 160/60 di belakang.
Menggerakkannya adalah enjin dua silinder V 578.2 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slipper, mampu menghasilkan kuasa sehingga 61 hp pada 8,500 rpm dan tork 60 Nm pada 5,500 rpm untuk dihantar kepada roda belakang melalui sistem tali sawat.
Suspensi terdiri daripada fork USD dengan jarak gerak 130 mm di hadapan, dan dua penyerap hentak dengan jarak erak 81 mm di belakang, manakala brek pula menggunakan unit cakera tunggal dengan angkup empat piston di hadapan dan cakera tunggal dengan angkup dua piston di belakang. ABS dual-channel diberikan secara standard.
Untuk kemudahan pengguna, motosikal ini dilengkapi soket pengecas USB A dan C, serta tangki bahan api berkapasiti 20 liter. Berat keseluruhannya adalah 200 kg sementara panel meter pula menggunakan unit digital yang berbentuk bulat.
The post Brixton 625V dilancarkan di Malaysia – RM26,888 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





































