Tak sampai sehari selepas BYD mendedahkan teaser untuk Atto 3 Evo terbaru, pengeluar kereta nasional Proton pula membalasnya dengan menunjukkan imej model terbaru untuk pasaran tempatan — eMas 7 2026 yang dikemas kini. Pelancarannya dalam masa seminggu lagi, iaitu 11 Jun, yang merupakan hari media bagi Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026.
Pembaharuan apa yang akan dilakukan untuk eMas 7? Untuk bayangan, kita lihat apa yang sudah ditawarkan untuk pasaran Australia dan Thailand: kembar model terbabit di pasaran tersebut, Geely EX5, telah dinaik taraf dengan bateri LFP bilah pendek Aegis dengan kapasiti lebih besar, 68.39 kWh, berbanding kepasiti terdahulu dengan 60.22 kWh.
Ini memberikan sedikit peningkatan terhadap julat perjalanannya, iaitu menjadi 475 km kitaran WLTP, berbanding 410 km untuk eMas 7 Premium semasa. Harus ambil maklum bahawa jarak berkenaan adalah untuk rim 18-inci seperti yang digunakan untuk varian Prime. Bagi varian Premium, yang menggunakan rim 19-inci, jaraknya menurun kepada 450 km — hanya melibatkan peningkatan 40 km.
Dengan motor hadapan yang sama yang memberikan kuasa sehingga 218 PS (160 kW) dan tork 320 Nm, serta tambahan berat 50 kg untuk versi bateri yang lebih besar (akan dipanggil Premium Plus di sini untuk menandingi eMas 7 PHEV, mungkin?) juga akan jadi lebih perlahan pecutan 0-100 km/j iaitu 7.4 saat. Model semasa memberikan bacaan 6.9 saat.

Kuasa pengecasan pantas DC-nya juga kekal pada kadar 100 kW, tetapi dengan hanya melibatkan peningkatan kapasiti bateri yang sedikit, Geely mendakwa ia akan mengambil masa 20 minit juga untuk diisi semula dari tahap 30 hingga 80%. Model ini masih menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW, dengan masa selama tujuh jam untuk dicas dari 10% hingga 100% (naik daripada 6.1 jam untuk model lain).
Memandangkan terdapat sedikit peningkatan jarak perjalanan tersebut, boleh dijangkakan model utama terbaru ini mungkin juga akan menambah beberapa kelengkapan yang tidak ditawarkan kepada varian Premium sedia ada untuk membezakan tahap penawaran antara variannya. Ciri seperti beg udara tengah bahagian hadapan dan fungsi urutan binaan dalam untuk kerusi penumpang seperti yang ditawarkan oleh EX5 di peringkat global. Kemas kini ini juga dijangka akan memperkenalkan pilihan cat Emerald Green yang terbaru, serupa dengan eMas 7 PHEV.
Perubahan lain dalam penawaran varian juga mungkin berlaku. Memandangkan Geely telah menghentikan penggunaan bateri berkapasiti 49.52 kWh yang paling “asas” di China, ada kemungkinan vairan Prime selepas ini bakal beralih kepada bateri 60.22 kWh “pertengahan”, yang akan memberikan peningkatan jarak pemanduan dari 345 km menjadi 430 km (sekali lagi, dengan rim 18-inci).
Kita tunggu pelancaran rasminya nanti untuk mengetahui lebih lanjut tentang penawaran Proton eMas 7 2026 ini.
The post Proton eMas 7 2026 dalam iklan <em>teaser</em> — bateri 68.39 kWh lebih besar, jarak WLTP 450 km, lancar 11 Jun ini? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















