Carro Technology Sdn Bhd bakal membuka lapan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) serentak di seluruh negara pada 16 Jun ini. Memilih Glenmarie, Wangsa Melawati, Kajang, Klang, Bayan Lepas, Melaka, Muar dan Johor Bahru sebagai lokasi, ia akan menjalankan pemeriksaan kenderaan bagi tujuan Pertukaran Hak Milik Kenderaan Persendirian MV15 (sebelum ini dikenali sebagai B5).
Menjelang pelancaran tersebut, pagi tadi Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkesempatan melawat pusat Carro di Kajang, di mana beliau diberikan demonstrasi proses pemeriksaan berkenaan.
Sebelum ini, monopoli pemeriksaan kenderaan oleh Puspakom telah berlangsung sejak 1994, namun ia telah pun berakhir pada tahun 2024 apabila kerajaan memutuskan untuk membuka sektor berkenaan kepada syarikat lain bagi mengurangkan kesesakan di cawangan Puspakom, memperluaskan akses rakyat kepada perkhidmatan tersebut serta menggalakkan persaingan sihat, kata Loke.
Carro Technology Sdn Bhd merupakan antara empat syarikat PPKM, selain Carsome Academy Sdn Bhd, Wawasan Bintang Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd dari Sarawak, yang diumumkan kerajaan pada 16 Julai 2025 sebagai pihak yang dilantik untuk menjalankan pemeriksaan MV15, daripada sekurang-kurangnya 12 syarikat yang memohon.
Loke berkata bahawa buat masa ini, Carsome Academy Sdn Bhd, Car Medic Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd masih dalam proses membangunkan pusat pemeriksaan masing-masing.
Jelasnya, operasi pusat pemeriksaan ini tertakluk kepada syarat serta piawaian ketat yang dipantau oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Antara syarat tersebut termasuk penyediaan infrastruktur pemeriksaan lengkap (termasuk bilik atau lorong pemeriksaan khas serta petugas berasingan untuk mengendalikan pemeriksaan pertukaran hak milik, selaras dengan standard ISO/IEC 17020:2012 – Keperluan Penilaian Pematuhan bagi Operasi Pelbagai Jenis Badan Pemeriksa), integrasi dengan sistem MySikap, mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan serta memastikan pemeriksa kenderaan motor mendapat akreditasi JPJ.
Malah yuran pemeriksaan juga dikawal oleh kerajaan dan oleh itu ia adalah sama seperti di Puspakom. Di mana bagi pemeriksaan MV15, cajnya ialah RM30 + yuran pemprosesan RM5 + RM2.80 (SST 8% ke atas RM35), menjadikan jumlah keseluruhan hanya RM37.80.
The post Carro buka 8 pusat pemeriksaan kenderaan MV15 (tukar hak milik B5) di seluruh negara pada 16 Jun appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

























