Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mendedahkan 50.9% atau 46,542 daripada 91,456 kes kemalangan yang direkodkan pada 2025 ialah kemalangan perjalanan pergi dan balik kerja. Daripada jumlah itu, seramai 4,267 penunggang motosikal terkorban yang mencakupi 65% daripada keseluruhan 6,581 kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang tahun lalu, laporan Berita Harian.

Menurut CEO PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, statistik itu turut menunjukkan berlakunya trend membimbangkan khususnya dalam kalangan penunggang motosikal.

“Lebih membimbangkan, kadar kemalangan perjalanan meningkat 21% berbanding 38,454 kes direkodkan pada 2023,” katanya selepas majlis pelancaran Kempen Penunggang Malaysia (MYRider) di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, Sabtu lalu.

Beliau berkata PERKESO dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia melancarkan MyRider bagi memperkukuh usaha pencegahan kemalangan jalan raya terutama melibatkan penunggang motosikal.

46,542 kes kemalangan libatkan perjalanan pergi-balik kerja pada 2025,  4,267 penunggang motosikal maut

Jelas beliau, kempen itu turut melibatkan pelbagai agensi dan rakan industri termasuk Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekali gus mencerminkan komitmen bersama ke arah memperkukuh keselamatan penunggang motosikal di Malaysia.

“Menerusi Kempen MyRider, saya ingin sampaikan mesej mudah tetapi besar maknanya iaitu kita perlu bersama-sama membudayakan Penunggang Malaysia yang lebih bertanggungjawab, lebih berhemah dan lebih menghargai nyawa, selaras slogan Penunggang Malaysia: Selamat. Berhemah. Bermaruah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman DCP Mohd Rozi Jidin berkata PDRM memberikan sokongan penuh dalam menjayakan Kempen MyRider.

“Semoga kerjasama erat antara PERKESO, PDRM, agensi kerajaan dan rakan strategik industri menjadi pemangkin keberkesanan usaha dalam meningkatkan keselamatan penunggang motosikal di Malaysia,” katanya.

The post 46,542 kes kemalangan libatkan perjalanan pergi-balik kerja pada 2025, 4,267 penunggang motosikal maut appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts