Minggu ini dan minggu depan bakal ada cuti umum yang panjang. Bermula dengan Hari Raya Aidiladha atau Raya Haji pada 27 Mei (Rabu) ini, diikuti oleh Hari Keputeraan YDPA Agong pada 1 Jun (Isnin depan) dan Hari Wesak pada 2 Jun (Selasa depan).
Jika anda ingin ke mana-mana, maka rancanglah perjalanan terlebih dahulu. Untuk yang akan bergerak ke Pantai Timur, pihak AFA Prime selaku syarikat pemegang konsesi telah mengeluarkan cadangan waktu perjalanan (TTA) untuk Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) sebagai persediaan menghadapi lonjakan trafik.
Ini merupakan langkah proaktif yang diambil untuk mengurangkan kesesakan di tempat-tempat kritikal, terutamanya di plaza tol Gombak, Bentong dan Karak, yang merupakan pintu masuk utama ke Pantai Timur. Untuk perjalanan yang lebih teratur, AFA Prime menasihati pemandu untuk merancang perjalanan mereka berdasarkan jadual ini.
Untuk perjalanan balik kampung dari Lembah Klang, iaitu 23, 24 dan 26 Mei, mereka yang menuju ke Pahang melalui plaza tol Gombak boleh memasuki lebuhraya dari jam 10 pagi hingga 2 petang, manakala pengguna yang menuju ke Terengganu boleh menyertai lebuhraya dari jam 8 pagi hingga 10 pagi. Kelantan merupakan negeri paling jauh di pantai timur, dan mereka yang menuju ke sana dinasihatkan untuk memasuki Karak dari jam 6 pagi hingga 8 pagi.
Terdapat juga pilihan waktu petang, dengan mereka yang menuju ke Pahang dinasihatkan untuk memasuki lebuhraya dari jam 4 petang hingga 6 petang, Terengganu dari jam 6 petang hingga 8 malam, dan Kelantan dari jam 8 malam hingga 10 malam.
Bagi perjalanan pulang ke KL (1-2 Jun), mereka yang bertolak dari Pahang dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya dari jam 6 pagi hingga 10 pagi atau 7 malam hingga 11 malam, Terengganu dari jam 11 pagi hingga 2 petang atau 8 malam hingga 10 malam, dan dari Kelantan bermula jam 6 petang hingga 9 malam atau 11 malam hingga tengah malam.
AFA Prime menggalakkan pemandu menggunakan “tempoh perjalanan bebas” dari tengah malam hingga 6 pagi untuk perjalanan yang lebih lancar. Sebaliknya, orang ramai harus mengelakkan waktu puncak bas ekspres di plaza tol Gombak, iaitu dari 9.30 pagi hingga tengah hari dan 9.30 malam hingga tengah malam untuk mengurangkan kesesakan. Utamakan keselamatan ketika memandu.
The post Cadangan waktu perjalanan cuti Raya Haji dan hujung minggu panjang bagi Lebuhraya KL-Karak, LPT1 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















