Versi facelift kali kedua untuk sedan Honda City generasi kelima secara rasmi telah membuat kemnculan sulung globalnya di India hari ini. Seperti yang telah tertiris sebelum ini, City diberikan rombakan yang besar pada bahagian muka bagi memberikan rupa yang segar untuk kemaskini terbaharu ini.
City 2026 ini menampilkan muka yang langsung tidak sama seperti versi facelift sedia ada yang juga membuat kemunculan sulungnya di India pada 2023. Versi kali ini kelihatan lebih sporty dan tajam dengan lampu hadapan bi-LED direka lebih nipis, nampak seperti bersepadu dengan gril hadapan yang lebar sehingga ke bahagian bawah lampu tersebut.
Gril berkenaan menampilkan elemen sarang lebah seakan diinspirasikan dari gril Honda Civic Type R FL5, manakala logo ‘H’ pula diletakkan lebih tinggi daripada gril dengan gaya seperti Prelude generasi baharu. Manakala bagi lampu nyalaan siang, jalur LED diberikan seakan menjadi kening muka kereta ini (juga bertindak sebagai lampu isyarat membelok), dan ia bersambung dengan satu lagi jalur LED yang terletak di atas gril.
Bampar hadapan juga langsung tidak sama dengan model sedia ada di mana ia diberikan kemasan tirai udara sisi berbentuk segi tiga. Manakala gril pada sebelah bawah juga menampilkan elemen sarang lebah yang sama.
Di belakang, City facelift ini masih diberikan lampu dengan kluster yang nampak sama seperti versi sebelumnya. Yang banyak berubah adalah pada bampar, di mana ia kini diberikan kemasan berbentuk trapezium seakan gril pada bampar hadapan, serta diberikan reflektor pada kedua-dua sisi.
Tiada perubahan dibuat pada profil sisi City facelfit ini, dan selain lampu dan bampar hadapan yang nampak berubah, ia boleh dikenali dengan rim aloi 16-inci dengan corak bilah-aero baharu.
Bahagian kabin juga tidak menampilkan perubahan yang besar di mana ia masih diberikan rekaan papan pemuka yang sama. Apa yang berubah adalah ia kini diberikan skrin infotainmen 65% lebih besar dan ia nampak lebih ‘terapung’. City baharu juga kini hadir dengan lampu suasana kabin yang menyinar menerusi perapi dengan kemasan 3D pada papan pemuka serta di ruang kaki.
Satu lagi tingkat taraf baharu diberikan adalah tempat duduk hadapan yang kini diberikan pengalir udara yang pastinya memberikan lebih keselesaan untuk negara yang beriklim panas. Menurut Honda fungsi tersebut memberikan kesan penyejukkan lebih efektif dengan mencapai ke lebih 40% kawasan.
Model pasaran India ini datang dengan kamera 360-darjah bersama pengesan objek bergerak. Fungsi kamera ini boleh diaktifan menerusi butang yang terletak dihujung tuil lampu sebelah kiri yang lazimnya merupakan suis untuk sistem pemantau titik buta Honda LaneWatch.
Model pasaran India ini masih ditawarkan dengan enjin petrol 1.5 liter NA empat-silinder i-VTEC berkuasa 121 PS dan tork maksima 145 Nm. Pembeli juga masih boleh memilih kotak gear sama ada enam-kelajuan manual atau CVT automatik untuk memacu kuasa dari enjin ke roda hadapan.
Dan buat pertama kali menerusi model generasi kelima facelift kali kedua ini, City pasaran India ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV yang menampilkan enjin 1.5 liter kitaran Atkinson berkuasa 100 PS/131 Nm yang kebanyakkan masanya mengecas bateri, sementara roda hadapan dipacu secara primari oleh motor elektrik berkuasa 109 PS/253 Nm. Namun dalam situasi tertentu, enjin petrol berkenaan masih membantu memacu roda menerusi klac lock-up dalam transmisi e-CVT yang diberikan.
Di India Honda City baharu ini ditawarkan dalam empat varian kemasan iaitu SV, V, ZX dan ZX+ yang hadir dengan pilihan unit rangkaian kuasa yang telah ditetapkan. Varian SV hanya ditawarkan dengan enjin 1.5L NA dan kotak gear 6MT dan dijual pada harga 1,199,900 rupees (sekitar RM50k), manakala V pula ditawarkan dengan enjin 1.5L NA tetapi dengan pilihan kotak gear sama ada 6MT atau CVT, dijual pada harga bermula INR1,329,900 hingga INR1,429,900 (RM55k hingga RM59k).
Manakala varian ZX juga ditawarkan dengan enjin NA dan kotak gear manual dan CVT, dengan harga antara INR1,525,900 dan INR1,625,900 (RM63k dan RM67k). Varian paling tinggi ZX+ pula boleh dipilih dengan semua pilihan unit rangkaian kuasa dan dijual pada harga antara INR1,614,900 dan INR2,099,900 (RM67k dan RM87k).
Model pasaran India ini ditawarkan dengan warna badan Crystal Black Pearl, Radiant Red Metallic, Obsidian Blue Pearl, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic dan Meteoroid Gray Metallic. Setiap pembelian didatangkan dengan waranti standard tiga tahun tanpa had perbatuan, yang boleh dilanjutkan sehingga tujuh tahun/tanpa had perbatuan atau 10 tahun/120,000 km. Varian hibrid pula diberikan waranti lima tahun, 100,000 km untuk komponen sistem hibrid, manakala bateri litium-ion diberikan waranti selama lapan tahun/160,000 km.
Kali pertama City generasi kelima ini didedahkan adalah pada penghujung 2019, dan masuk tahun ini ia sudahpun berusia enam tahun. Dengan pengenalan facelift baharu ini bermaksud ia sekurang-kurangnya akan bertahan tiga tahun lagi sebelum diganti dengan model generasi baharu sepenuhnya, berbeza dengan generasi-generasi sebelum ini yang hanya dijual selama enam-tahun dalam pasaran.
Model facelift sedia ada di Malaysia juga sudah berada dalam pasaran hampir tiga tahun. Mungkin City facelift 2027 ini juga termasuk dalam enam model yang akan dilancarkan oleh Honda Malaysia tahun ini?
The post Honda City facelift 2026 didedahkan di India – muka lebih tajam dan sporty, tempat duduk pengalir udara appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




















































