Sebanyak 51 kenderaan mewah yang dianggarkan bernilai RM14 juta telah disita di sekitar Pulau Pinang, menerusi pelaksanaan Op Luxury oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) antara Januari hingga 21 Mei 2026, laporan Berita Harian.
Menurut Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail, tindakan sitaan dibuat kerana kegagalan pemilik memperbaharui cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan pihaknya juga telah mengeluarkan sebanyak 137 notis menerusi operasi yang sama.
Antara model kenderaan yang disita termasuklah BMW, Mercedes Benz, Toyota, Jaguar, Porsche, Hummer, Lexus, Mini Cooper, Range Rover dan Ford Mustang.
“Kegagalan pemilik memperbaharui cukai jalan menyebabkan berlaku ketirisan hasil kerajaan sebanyak RM175,236.92. Kereta Ford Mustang dikesan memiliki tunggakan cukai jalan paling tinggi iaitu mencecah RM10,909.50 manakala sebuah BMW model 323i E90 pula dikesan kenderaan mewah paling lama tidak memperbaharui cukai jalan iaitu sejak 5 Jun 2020,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang operasi bagi tempoh antara Jun hingga Disember tahun lalu pula, pihaknya menyita 73 kenderaan mewah dengan nilai ketirisan hasil sebanyak RM88,000 kerana kegagalan pemilik memperbaharui LKM. Beliau berkata, alasan terlupa dan penggunaan kereta itu hanya ‘sekali sekala’ menjadi alasan lapuk yang kerap diterima sepanjang menjalankan operasi berkenaan.
Beliau turut berkata, walau pun pelbagai alasan untuk melepaskan diri diberikan, namun pihaknya tidak berkompromi memandangkan ia peraturan yang perlu dipatuhi setiap pengguna jalan raya.
“Alasan diberikan tidak boleh diterima langsung, jadi pegawai penguat kuasa kita tidak berkompromi untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
The post JPJ Pulau Pinang sita 51 kenderaan mewah bernilai RM14j menerusi Op Luxury antara Jan-21 Mei 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















