Selaras dengan langkah penstrukturan semula RE:Nissan diumumkan tahun lalu yang mahu Nismo diperkasa bagi memperkukuhkan kembali jenama automotif Jepun yang sedang bergelut dengan krisis kewangan itu, Nissan hari ini mengumumkan bahawa ia akan membuka Nismo Performance Centre pertamanya di Australia. Pusat berkenaan akan menawarkan pelanggan di Australia dengan akses yang lebih mudah terhadap perlatan-peralatan prestasi asli Nismo, sokongan terhadap pemilik-pemilik model warisan sejarah dan juga menawarkan kepakaran teknikal.
Ini bermakna Australia akan menjadi pasaran pertama di luar Jepun yang akan menerima kepakaran terus dari Nismo Omori Factory, yang menawarkan perkhidmatan dari penyelengaraan asas ke pemasangan komponen berprestasi Nismo, sehinggalah kepada perkhidmatan restorasi dan fabrikasi kenderaan lengkap.
“Pusat-pusat ini akan menyediakan pautan terus ke Nismo Omori Factory di Jepun, menyokong program restorasi kenderaan canggih dan menampilkan pakar-pakar Nismo yang diperakui kilang disokong oleh kepakaran global Nismo,” kata Nissan dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan.
Nismo Performance Centre pertama ini disasarkan untuk dibuka di Nissan Ferntree Gully di Victoria pada separuh kedua tahun 2026. Ia bukanlah satu-satunya pusat seumpama itu kerana bakal ada lokasi-lokasi tambahan lain akan diumumkan. Pengumuman ini dibuat menjelang Festival GT-R hujung minggu ini di Sydney Dragway.
“Nismo mewakili salah satu ekspresi paling tulen bagi semangat Nissan terhadap prestasi, inovasi dan keterujaan pelanggan. Ketika kami memajukan visi jangka panjang kami tentang kecerdasan mobiliti untuk kehidupan seharian, kami akan terus memberikan pengalaman baharu kepada pelanggan kami. Pengembangan jenama Nismo di pasaran seperti Australia merupakan langkah penting dalam membawa pengalaman menarik kepada pelanggan yang menghargai prestasi dan keaslian,” kata Ivan Espinosa, presiden dan CEO Nissan.
“Pengembangan Nismo diperingkat golbal adalah untuk mendekatkan jenama ini kepada pelanggan di pasaran yang betul, dengan produk, perkhidmatan dan pengalaman yang betul. Australia merupakan keutamaan semula jadi kerana budaya prestasinya yang matang, komuniti GT‑R yang kukuh dan minat yang jelas terhadap warisan Nismo yang tulen, alat ganti prestasi, kepakaran teknikal dan pengalaman yang didorong oleh sukan permotoran,” tambah Yutaka Sanada, Presiden dan CEO Nissan Motorsports & Customising (NMC) serta ketua global jenama Nismo.
Pada Disember lalu Nissan mengumumkan akan menggandakan barisan model Nismo dari lima kepada sepuluh, dan ia bukan hanya ditumpukan pada pasaran Jepun, sebaliknya disasarkan untuk pasaran global dengan jumlah pengeluaran yang lebih banyak. Malah bermula tahun fiskal 2026, Nissan turut merancang untuk memperkenalkan kenderaan-kenderaan prototaip untuk aktiviti perlumbaan bagi memacu kemajuan teknologi dalam pembangunan komponen dan perisian untuk kegunaan kereta lumba serta perluasan barisan model kereta baharu.
Bukan itu sahaja, perniagaan sedia ada Nismo dalam bidang restorasi serta ubahsuai kereta-kereta lagenda turut akan diteruskan.
“Pasaran restorasi automotif global kini dinilaikan sekitar 500 bilion yen (USD 3.3 bilion) dan ia dijangka meningkat kepada 1.2 trilion yen (USD 7.7 bilion) menjelang 2032. NMC akan meningkatkan perniagaan restorasi, restomod, dan penjualan komponen alat ganti dengan fokus awalan untuk diperkembangkan sekitar model Skyline GT-R R32, R33 dan R34, serta akan diikuti dengan lebih banyak penawaran kenderaan dan kawasan,” kata Nissan ketika itu
The post Nismo Performance Center pertama akan dibuka di Australia; kembangkan perniagaan prestasi, restorasi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.









































