Chery telah umumkan pelantikan Robert Lewandowski sebagai duta baru jenama itu dalam usaha pengeluar kereta dari China itu berusaha untuk mengukuhkan kehadirannya di peringkat global, dalam suasana jualan kereta yang semakin perlahan di China. Kerjasama itu diumumkan di pusat operasi Eropah Chery di Barcelona, ​​Sepanyol, dengan ikon bola sepak tersebut turut menerima kunci kepada Tiggo 9 CSH.

Sebagai seorang daripada lima pemain yang telah menjaringkan 100 gol ketika bersama dengan tiga kelab berbeza, Lewandowski telah menjulang pelbagai gelaran bersama Lech Poznań, Borussia Dortmund, Bayern Munich dan Barcelona sepanjang kerjayanya. Untuk penglibatannya dengan pasukan kebangsaan Poland pula, Lewandowski telah membuat 165 penampilan dan telah menjaringkan sebanyak 89 gol sejak terlibat dari tahun 2008. Malangnya, beliau tidak akan beraksi di Piala Dunia 2026 kerana Poland gagal melepasi peringkat kelayakan.

“Saya gembira dapat bekerjasama dengan sebuah jenama yang benar-benar mengutamakan keluarga. Kami berkongsi nilai yang sama: mengutamakan keluarga, kekal fokus dan berusaha untuk mencapai kecemerlangan. Saya berharap dapat bekerjasama dengan Chery untuk membawa falsafah “Untuk Keluarga” kepada keluarga di seluruh dunia,” kata Lewandowski.

Lewandowski menyertai pelakon British, Daniel Craig sebagai seorang daripada beberapa selebriti bukan dari China yang kini menjadi duta jenama itu. Craig menjadi wajah utama Denza, sub-jenama di bawah BYD yang sebelum ini pernah juga diwakili oleh Leonardo DiCaprio. Untuk pengembangan besarnya ke Amerika Selatan, jenama seperti Geely menandatangani Fernanda Lima dan Rodrigo Hilbert.

Pengembangan di peringkat global menjadi satu hal yang sangat penting bagi jenama kereta China memandangkan keadaan pasaran domestik mereka yang semakin menguncup. Menurut Associated Press, eksport kereta penumpang dari China pada April 2026 melonjak hampir 85% berbanding tahun lalu kepada 796,000 unit, yang meningkat daripada 748,000 unit bagi Mac. Kenderaan tenaga baru (NEV), yang termasuk kereta elektrik dan plug-in hybrid, menyaksikan eksport meningkat lebih daripada 120% bulan lalu berbanding tahun sebelumnya kepada sekitar 420,000 unit.

Sebaliknya, data daripada Persatuan Pengilang Automobil China (CAAM) menunjukkan jualan kereta domestik berada pada kadar 1.3 juta unit pada April. Ini adalah 25.5% lebih rendah berbanding tahun sebelumnya dan menandakan penurunan tahun ke tahun (YoY) selama enam bulan berturut-turut.

The post Chery lantik ikon bolasepak Robert Lewandowski jadi duta jenama, perluas kehadiran di peringkat global appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts