Minggu hadapan, rakyat Malaysia bakal menikmati cuti umum yang panjang dan disertai sekali dengan musim cuti persekolahan. Di mana kita bakal menyambut Hari Raya Aidiladha pada 27 Mei ini, Hari Wesak (31 Mei) dan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (1 Jun). Pastinya ramai di antara kita merancang untuk pulang ke kampung halaman atau ke mana-mana destinasi lain.
Bagi yang memilih memandu ke destinasi pilihan dengan menggunakan lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS), syarikat konsesi ini menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari pada hari-hari puncak iaitu 22, 23, 26, 28-31 Mei 2026 bagi kenderaan yang keluar dari Lembah Klang, manakala bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang adalah pada 4 hingga 7 Jun 2026.
Justeru, PLUS menasihatkan anda untuk merancang perjalanan balik ke kampung atau bercuti dengan lebih awal, susulan jangkaan peningkatan aliran trafik di seluruh rangkaian lebuh rayanya, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
default
“PLUS telah bersiap sedia bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna berada pada tahap terbaik sepanjang musim perayaan ini. Menerusi pengurusan trafik dan insiden yang efisien, PLUS akan mengaktifkan Smart Lane di 33 lokasi tumpuan trafik bagi menambah kapasiti lorong, menugaskan lebih 500 anggota PLUSRonda dan LPTRonda untuk menjalankan rondaan 24 jam sehari, mengoptimumkan operasi dan membuka semua lorong di plaza tol serta pemantauan trafik masa nyata menerusi Pusat Pemantauan Trafik (TMC).
“Bagi membantu pengguna merancang perjalanan di Lebuhraya PLUS dan LPT2 dengan lebih efisien, PLUS menggalakkan orang ramai supaya merujuk dan mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA di aplikasi PLUS. Pengguna disaran mengikuti MyPLUS-TTA yang dicadangkan bagi melancarkan perjalanan, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan sepanjang tempoh tersebut,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Selain itu, PLUS dengan kerjasama strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta agensi berkaitan komited untuk membantu melancarkan aliran trafik dan memastikan tahap keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa berada pada tahap optimum sepanjang musim perayaan ini.
default
“Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya menggunakan aplikasi PLUS, Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan serta mendapatkan status trafik semasa sepanjang musim perayaan kali ini. Pada masa sama, PLUS turut mengingatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet (bagi pengguna RFID dan JustGO) sentiasa mencukupi sebelum memulakan perjalanan di lebuh raya.
“Pengguna lebuh raya juga diingatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, berhati-hati memandu ketika hujan, mendapatkan rehat secukupnya, memandu dengan berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama,” kata PLUS lagi.
Dalam pada itu, pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi aplikasi PLUS, Pembantu Maya – PUTRI, aplikasi X @plustrafik dan @|pt2trafik, paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi terpilih serta saluran stesen radio utama negara. Orang ramai boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 dan LPTLine di 1800-88-0220 jika memerlukan bantuan kecemasan di lebuh raya.
The post PLUS aktifkan 33 lokasi Smart Lane sempena Aidiladha; 2.2j kenderaan sehari pada 22 Mei-7 Jun appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















