Dongfeng Peugeot Citroen Automobile (DPCA), syarikat kerjasama yang kini sudah berusia 34 tahun bakal menghasilkan model-model baharu untuk jenama Peugeot dan Jeep di China, untuk pasaran domestik dan juga luar negara selepas Stellantis dan Dongfeng Group menandatangani satu perjanjian kerjasama strategik (SCA) baru-baru ini.

Tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan dan apa yang dimuktamatkan dalam perjanjian pelaksanaan yang berkaitan, SCA ini dijangka akan memulakan pengeluaran awal “dua kenderaan tenaga baharu (NEV) berjenama Peugeot serba baharu” dan “dua kenderaan off-road tenaga baharu berjenama Jeep untuk pasaran global” di kilang Wuhan mulai tahun 2027.

Dengan menyebut “berjenama-Peugeot” dan “berjenama-Jeep”, produk-produk yang bakal dihasilkan ini mungkin dihasilkan berasaskan model-model Dongfeng – mungkin sekadar rebadge, dan ia mungkin akan menerima kejuteraan semula dari kedua-dua jenama tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan lagi, model-model Peugeot yang akan dihasilkan menerusi kerjasama ini “akan berdasarkan bahasa reka bentuk terkini kereta konsep serba baharu yang diperkenalkan oleh Peugeot di Pameran Auto Beijing 2026”, di mana Peugeot membawa dua ketika itu iaitu estate bersaiz besar Concept 6 dan SUV bersaiz besar Concept 8. Namun tiada sebarang perincian berkenaan model-model Jeep disebut.

Projek ini akan melibatkan pelaburan bersama lebih RMB8 bilion (RM4.7 bilion), namun Stellantis dijangka hanya menyumbang 130 juta euro (RM602 juta), atau kurang daripada 13%.

“Dengan rekod prestasi lebih 30 tahun kerjasama dan kepakaran automotif yang dikongsi, Stellantis dan Dongfeng bersedia untuk memanfaatkan lagi kekuatan mereka dan memperkenalkan kenderaan serba baharu dengan teknologi EV canggih daripada jenama yang dipercayai dan disukai pelanggan di seluruh dunia,” kata CEO Stellantis, Antonio Filosa.

“Melalui pemeteraian kerjasama strategik ini, dengan mengintegrasikan kekuatan perindustrian Hubei, kelebihan susun atur global Stellantis dan teknologi kenderaan elektrik pintar Dongfeng, laluan baharu yang menampilkan kekuatan pelengkap dan hasil menang-menang untuk semua pihak telah diwujudkan,” kata pengerusi Dongfeng Group, Qing Yang.

The post Dongfeng akan hasilkan model-model NEV untuk Peugeot dan Jeep di China, untuk domestik dan import appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts