Chery Malaysia telahpun menyiarkan teaser bagi model Tiggo 9 yang bakal dilancarkan ke pasaran tempatan tidak lama lagi, dan pendaftaran minat (RoI) bagi pelanggan juga sudahpun dibuka. SUV ini akan menjadi model flagship dalam barisan model Chery Tiggo di Malaysia, yang kini terdiri dari Tiggo 8 Pro, Tiggo 8 PHEV, Tiggo 8, Tiggo 7 Pro, Tiggo 7 PHEV dan juga yang paling kecil Tiggo Cross.

Beberapa senarai kelengkapan telah diumumkan dalam laman pendaftaran minat model tersebut. Antara yang sudah sah adalah unit rangkaian kuasa dengan enjin 2.0 liter Turbo dengan sistem pacuan semua roda. Sebelum ini Chery Malaysia ada menyatakan bahawa ia akan membawa Tiggo 9 dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) Chery Super Hybrid (CSH), namun ia mungkin akan ditawarkan selepas pelancaran model dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya ini terlebih dahulu.

Enjin yang disebutkan berkenaan dijangka merupakan enjin yang sama terdapat pada Tiggo 8 Pro, iaitu unit 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 256 PS dan tork maksima 390 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Tidak seperti Tiggo 8 Pro yang hanya memacu roda hadapan, Tiggo 9 ini diberikan sistem AWD yang datang dengan tujuh mod iaitu Eco, Normal, Sport, Sand, Mud, Snow dan Off-Road.

Chery Tiggo 9 – <em>teaser</em> disiar, dilancar tak lama lagi; SUV segmen-D, fungsi pengurut, sistem audio Sony

Perincian lain yang turut telah disahkan termasuk rim aloi 20-inci, skrin sesentuh infotainmen 15.6-inci yang dikuasakan oleh chip Snapdragon 8155 keluaran Qualcomm, paparan head-up, tempat duduk pemandu larasan kuasa 10-hala, fungsi pengalir udara dan pengurut pada tempat duduk hadapan, pengalir udara pada tempat duduk baris kedua, serta sistem bunyi Sony dengan 14 pembesar suara termasuk di dalam perehat kepala tempat duduk hadapan.

Dari segi saiz, Tiggo 9 dihasilkan dengan panjang 4,810 mm dan lebar 1,925 mm, menjadikannya ia 88 mm lebih panjang dan 65 mm lebih lebar daripada Tiggo 8 Pro. Jarak rodanya diukur sejauh 2,800 mm atau 90 mm lebih panjang daripada Tiggo 8 Pro. Walau bagaimanapun berbanding ‘sepupunya’ Jaecoo J8, Tiggo 9 ini adalah 10 mm lebih pendek, 5 mm kurang lebar dan jarak rodanya juga adalah 20 mm lebih dekat.

Tiada sebarang petunjuk berkenaan harga Tiggo 9 ini. Namun ia pastinya lebih mahal dari Tiggo 8 Pro yang kini dijual pada harga RM159,800. Kita juga mungkin boleh mengambil Jaecoo J8 untuk membuat anggaran – model dengan enjin 2.0T yang sama serta saiz yang tidak jauh beza tersebut dijual pada harga RM168,800 untuk varian 2WD dan RM188,800 untuk varian AWD.

The post Chery Tiggo 9 – <em>teaser</em> disiar, dilancar tak lama lagi; SUV segmen-D, fungsi pengurut, sistem audio Sony appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts