Mercedes-Benz Malaysia bersama Asbenz Stern hari ini merasmikan pembukaan Autohaus baru di Kuantan, yang kini menjadi pusat Mercedes-Benz terbesar di Pantai Timur. Pembukaan fasiliti baru ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh lagi rangkaian jualan dan perkhidmatan jenama Jerman itu di dalam negara.
Terletak di kawasan Indera Mahkota, Autohaus Asbenz Stern Kuantan dibangunkan dengan keluasan keseluruhan mencecah 65,340 kaki persegi. Daripada jumlah itu, seluas 26,565 kaki persegi diperuntukkan khusus untuk ruang pameran yang mampu memuatkan sehingga enam kenderaan pada satu masa. Fasiliti tersebut turut dilengkapi ruang pelanggan seperti Star Lounge serta sudut pameran Mercedes-Benz Lifestyle Collection.
Selain menawarkan jualan dan servis selepas jualan, pusat baru ini dinaik taraf menjadi fasiliti 4S dengan penambahan perkhidmatan cat dan baik pulih badan (B&P). Sebelum ini, Asbenz Stern hanya mengendalikan pusat 3S yang mula beroperasi di Kuantan sejak tahun 2018.
Bagi memperkukuhkan lagi operasi selepas jualan, Autohaus ini dilengkapi sebanyak 16 ruang kerja yang mampu mengendalikan pelbagai jenis servis termasuk penyelenggaraan berkala dan kerja pembaikan lebih kompleks. Semua kerja dilakukan oleh juruteknik yang menerima latihan dan pensijilan rasmi daripada Mercedes-Benz.
Seiring perkembangan mobiliti elektrik, fasiliti baru ini turut menyediakan pengecas pantas DC berkuasa sehingga 120 kW yang dilengkapi dua muncung pengecas bagi membolehkan dua kenderaan dicas secara serentak. Kemudahan tersebut menyokong model elektrik penuh serta plug-in hybrid keluaran Mercedes-Benz.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia serta Ketua Wilayah Mercedes-Benz Cars Asia Tenggara, Martin Schulz berkata pembukaan Autohaus baru itu mencerminkan komitmen bersama dalam meningkatkan pengalaman pelanggan Mercedes-Benz di Pantai Timur.
Sementara itu, Pengarah Urusan Asbenz Stern, Goh Chuan Kiong menyatakan bahawa Kuantan sentiasa menjadi lokasi penting bagi syarikat itu. Menurut beliau, pelaburan dalam fasiliti baru yang dibina khusus dengan kemampuan lebih menyeluruh termasuk perkhidmatan B&P akan membolehkan pelanggan menerima servis yang lebih cekap dan komprehensif.
Kerjasama antara Asbenz Motors dan Mercedes-Benz bermula sejak Mei 2004, dan sehingga kini syarikat itu telah melaburkan sekitar RM35 juta bagi pembangunan rangkaiannya. Daripada jumlah tersebut, RM23 juta diperuntukkan khusus untuk pembangunan Autohaus baru di Kuantan. Selain Pahang, Asbenz Stern turut mempunyai operasi di Kedah dan Terengganu.
Autohaus Asbenz Stern Kuantan terletak di No C1, Mahkota Valley, Jalan IM 9/1, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.
The post Mercedes-Benz Malaysia dan rakan pengedar, Asbenz Stern lancar pusat 4S Kuantan Autohaus di Pahang appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



























