Syarikat minyak gergasi Jepun, Eneos, telah mengumumkan bahawa syarikat itu telah mencapai persetujuan dengan Chevron untuk mengambil alih 100% perniagaan bahan api dan pelincir hiliran syarikat AS tersebut di Asia Tenggara. Ini termasuk di Malaysia, Singapura, Filipina, Australia, Vietnam dan Indonesia. Dengan itu, Eneos akan mengambil alih operasi lebih 450 stesen minyak Caltex di Malaysia.
Bagaimanapun, penjenamaan Caltex yang sedia ada dikekalkan, dan tidak akan digantikan dengan penjenamaan Eneos dengan warna oren ikoniknya. “Jenama Caltex yang telah dibina dan dibangunkan oleh Chevron selama beberapa dekad merupakan aset perniagaan yang sangat penting, dan kami komited sepenuhnya bukan sahaja untuk memelihara nilainya, tetapi juga untuk terus mengembangkannya,” jelas Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Eneos, Miyata Tomohide.
Eneos membeli perniagaan hiliran tersebut — termasuk 50% pegangan bukan-kendalian Chevron Singapura dalam Singapore Refining Company (SRC) — melalui special purpose vehicle (SPV) Singapura. Transaksi bernilai AS$2.17 bilion (RM8.5 bilion) itu dijadualkan selesai pada 2027, tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan syarat penutupan.

“Perjanjian hari ini mencerminkan pendekatan berdisiplin Chevron dalam menguruskan portfolio antarabangsa kami. Kami berbangga dengan apa yang telah dibina oleh kakitangan kami selama 90 tahun dalam melayani pelanggan dan menyokong komuniti di seluruh rantau Asia Pasifik melalui jenama Caltex yang dipercayai.
“Chevron komited untuk menyokong peralihan yang teratur ketika pasukan kami bersedia untuk menyertai ENEOS, rakan kongsi yang sangat berharga, yang mempunyai hubungan komersial yang lama dan keyakinan kukuh terhadap kejayaan berterusan jenama Caltex di seluruh rantau ini,” kata Presiden Hiliran, Pertengahan dan Bahan Kimia Chevron, Andy Walz.
Tomohide juga menambah: “Pelaburan ini mewakili langkah penting dalam memperkukuh platform perniagaan yang menghubungkan Jepun dengan Asia Tenggara dan pasaran Oceania, sambil menyatukan kekuatan daya saing yang dibangunkan di setiap pasaran untuk memajukan pertumbuhan kumpulan kami ke peringkat seterusnya. Ke hadapan, kami akan memanfaatkan sepenuhnya kepakaran, rangkaian serta asas perniagaan yang telah dibangunkan di setiap pasaran untuk meningkatkan lagi keupayaan perniagaan dan perdagangan produk bahan api kami.”
The post Eneos ambil alih stesen minyak Caltex di Malaysia — jenama Caltex dikekal, nilai perjanjian RM8.5 bilion appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















