—Kemaskini: Menurut Timbalan Menteri Kewangan, laporan ini salah dan dipetik di luar konteks yang sepatutnya. Jawapan balas beliau di sini.
Dengan harga minyak dunia berada pada paras harga yang tinggi, kuota skim subsidi RON95 bersasar Budi95 mungkin akan diturunkan lagi untuk mengurangkan kos subsidi yang kini semakin membebankan kewangan kerajaan.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong dalam laporan New Straits Times, pelarasan yang dicadangkan adalah berdasarkan data penggunaan, yang menunjukkan bahawa majoriti rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada ambang subsidi semasa.
“Data secara konsisten menunjukkan bahawa 80% rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter. Langkah seterusnya ialah 150 liter [kerana] 60% penduduk menggunakan kurang daripada 150 liter,” katanya pada acara Affin Market Outlook 2026: Propelling Malaysia Forward di KL hari ini.
Program Budi95 ini bermula pada tahun lalu di mana semua rakyat Malaysia yang mempunyai MyKad serta lesen memandu yang sah menerima kouta sebanyak 300 liter sebulan untuk membeli bahan api RON 95 pada harga subsidi iaitu 1.99 seliter.
Kouta berkenaan kemudiannya diturunkan kepada 200 liter pada 1 April lalu, di mana langkah itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Mac dan memberitahu ia adalah langkah sementara dan ia tidak menjejaskan 90% pengguna RON 95.
Dengan perkembangan terbaharu ini mungkin tidak lama lagi kouta berkenaan akan diturunkan lagi sehingga hanya 150 liter bagi membantu kerajaan untuk mengurus bekalan bahan api dengan lebih baik, meningkatkan kecekapan subsidi dan mengurangkan kebocoran.
The post Kerajaan pertimbang untuk turunkan kuota Budi95 kepada 150 liter – Timbalan Menteri Kewangan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















