Bridgestone Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi Potenza Adrenalin RE005, tayar sport generasi terbaru oleh jenama Jepun itu. Model berkenaan akan menggantikan model tayar RE004 yang ditawarkan sebelum ini. Disasarkan untuk pemandu yang mahukan prestasi sporty, pengendalian jalan basah yang meyakinkan serta keselesaan dalam pemanduan harian, RE005 direka untuk pelbagai jenis kereta, termasuk kenderaan elektrik.
Berbanding pendahulunya, RE005 diberikan peningkatan sebanyak 8% dari segi cengkaman permukaan jalan kering serta peningkatan 10% dalam cengkaman permukaan basah. Ini adalah hasil daripada reka bentuk blok lebar yang mengagihkan tekanan secara sekata untuk menyokong cengkaman di kedua-dua permukaan kering dan basah.
Selain itu, rekaan blok penyambung bersepadunya membantu untuk mengoptimumkan kestabilan ketika di selekoh, membolehkan pemandu memasuki selekoh tajam dan memecut keluar dengan yakin. Tayar ini juga mempunyai alur bentuk A yang tersendiri untuk pengendalian yang mudah diramal, serta “rusuk” dalam yang lebar yang membantu meningkatkan tindak balas stereng.
Untuk keadaan optimum ketika di jalan basah, rekaan alur hujan canggih pada RE005 menggalakkan mengaliran air bagi mengurangkan risiko hydroplaning. Ini selaras dengan penggunaan sebatian getah canggih yang menyumbang kepada cengkaman, di samping memberikan rintangan haba yang lebih baik dan ciri pengendalian yang tepat.
Sebatian ini juga diformulasikan khusus dengan mengambil kira rintangan golek yang lebih rendah untuk kecekapan bahan api serta jangka hayat terhadap kehausan permukaannya yang lebih baik. Reka bentuk blok juga dihadirkan dalam bentuk multi-blok bulat untuk tahan tekanan sentuhan permukaan dan bahagian bahu yang dioptimumkan.

“Potenza Adrenalin RE005 mencerminkan komitmen Bridgestone Malaysia untuk memberikan prestasi terbaik yang menepati keperluan pemandu masa kini,” ujar Pengarah Urusan Bridgestone Malaysia, Michael Chung.
“Dibangunkan dengan DNA sukan permotoran Bridgestone, Potenza Adrenalin RE005 direka bentuk untuk memberikan kawalan yang meyakinkan, maklum balas pengendalian terbaik dan keseronokan memandu yang sesuai untuk jalan raya dan keadaan cuaca di Malaysia,” tambahnya.
Bagi pasaran Malaysia, RE005 akan ditawarkan dalam saiz antara 15 hingga 20-inci, dengan harga runcit yang dicadangkan (RRP) bermula RM351 hingga RM1,543.
The post Bridgestone Potenza Adrenalin RE005 dilancar di Malaysia — saiz dari 15 hingga 20-inci, dari RM351 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






























