Kementerian Kerja Raya (KKR) melancarkan Buku Garis Panduan Reka Bentuk dan Pemasangan Sistem Pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) di mana menurut timbalan menteri kerja raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, buku tersebut akan membantu memacu reformasi pintar Jabatan Kerja Raya (JKR), selaras dengan dasar kerajaan untuk memperluaskan penggunaan kenderaan elektrik di seluruh negara.

Beliau menyatakan bahawa garis panduan berkenaan adalah pertama seumpamanya di Malaysia dan berfungsi sebagai rujukan komprehensif kepada semua pihak termasuk kontraktor, pereka bentuk, agensi kerajaan, operator stesen minyak serta individu yang ingin memasang kemudahan pengecasan EV.

“Selama ini kita tiada garis panduan khusus berkaitan pemasangan sistem pengecasan EV. Jadi buku ini akan menjadi dokumen yang akan membantu memastikan pemasangan dibuat di lokasi sesuai serta mematuhi aspek keselamatan ditetapkan,” kata Ahmad Maslan dalam laporan Bernama.

Beliau turut menyatakan bahawa kekurangan stesen pengecasan ketika ini dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang membataskan peningkatan penggunaan kenderaan elektrik dalam negara, dan menambah JKR perlu proaktif sebagai pemudah cara dalam pembangunan stesen pengecasan EV khususnya di jalan Persekutuan dan negeri.

“Inisiatif ini bertujuan mempercepatkan pembangunan infrastruktur pengecasan EV, bukan sahaja di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya, tetapi turut diperluaskan ke jalan Persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran di bawah seliaan JKR,” katanya lagi.

Terdapat garis panduan lain mengenai sistem pengecasan EV (EVCS), di mana suruhanjaya tenaga (ST) adalah salah satu badan yang mempunyai dokumen sedemikian. Pada tahun 2023, jabatan perancangan bandar dan desa persekutuan (JPBD) menerbitkan garis panduannya mengenai ruang pengecasan kenderaan elektrik (GPP EVCB), yang bertujuan untuk menyediakan satu set parameter kepada pihak berkuasa negeri dan tempatan serta pihak berkepentingan untuk merancang, mereka bentuk dan membina EVCB.

The post Kementerian Kerja Raya lancar buku garis panduan pemasangan pengecas EV untuk rujukan pemasang appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts