Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah pun mengeluarkan kenyataan media rasmi bagi mengumumkan perubahan terhadap polisi kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU) selepas berakhirnya tempoh pengecualian cukai selama empat-tahun untuk EV yang diimport sepenuhnya di bawah skim francais Approved Permit (AP) pada 31 Disember 2025.
Menurut kementerian tersebut bermula 1 Julai 2026, semua pengimportan EV CBU tertakluk kepada dua syarat utama, iaitu mana-mana EV yang diimport mesti mempunyai nilai minimum kos, insurans dan pengangkutan (CIF) yang diisytiharkan sebanyak RM200,000, dan output kuasa minimum 180 kW (bersamaan dengan 245 PS atau 241 hp).
Kenyataan itu turut memberitahu bahawa pelarasan ini telah dimaklumkan kepada syarikat induk francais AP melalui sesi penglibatan yang diadakan pada 30 April tahun ini.
MITI turut menambah bahawa, dengan mengambil kira bahawa sesetengah syarikat masih mempunyai stok kenderaan yang tinggal, termasuk stok sedia ada, yang berada di pelabuhan dan dalam transit, ia akan membenarkan stok tersebut dijual mengikut peraturan dalam tempoh pengecualian khas sehingga stok tersebut habis.
Untuk penjelasan yang lebih terperinci berkenaan perubahan polisi baharu ini, kami ada menyediakan artikel komprehensif yang boleh anda baca pada PAUTAN INI.
The post MITI sahkan perubahan polisi EV CBU, nilai CIF min. RM200k, kuasa min. 245 PS, efektif 1 Julai 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















