Jurucakap Kerajaan Madani merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mengesahkan bahawa Kementerian Kewangan (MOF) sedang meneliti pelaksanaan mekanisme subsidi diesel yang lebih bersasar, seumpama Budi95, bagi Sabah dan Sarawak. Katanya, perkara itu kini dalam peringkat penelitian oleh MOF sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan, laporan Bernama.

“Ini sedang diteliti untuk pelaksanaan oleh pihak Kementerian Kewangan,” katanya sambil menambah cadangan untuk menyelaraskan subsidi diesel antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia masih belum dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet setakat ini.

Mengulas situasi pasaran bekalan global, Fahmi berkata, kerajaan sentiasa memantau pergerakan harga minyak mentah dunia bagi menentukan langkah seterusnya berkaitan dasar subsidi bahan api negara, termasuk Budi95 dan Budi Diesel.

Tambahnya, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memaklumkan bekalan minyak mentah oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berada pada tahap memuaskan bagi Mei dan Jun.

MOF sedang teliti mekanisme subsidi diesel lebih bersasar untuk Sabah dan Sarawak – Fahmi

“Pada masa sama, MTEN turut memberi perhatian serius terhadap pergerakan harga global, sama ada minyak mentah atau produk petroleum seperti RON95 dan diesel, susulan perkembangan semasa berkaitan Selat Hormuz yang masih ditutup. Oleh itu, beberapa langkah berkaitan BUDI95 dan BUDI Diesel, termasuk BUDI Individu, sedang diselaraskan dan masih dalam penelitian. Fokus utama ketika ini adalah kestabilan bekalan serta impak harga minyak global,” katanya.

Semalam, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata senario gangguan bekalan yang berpanjangan, pemulihan bekalan minyak mentah dijangka mengambil masa antara tiga hingga 12 bulan, manakala pembaikan infrastruktur minyak dan gas yang rosak memerlukan tempoh lebih panjang.

Katanya, harga purata minyak mentah Brent (spot) di pasaran global menurun sebanyak 6.7% kepada US$109.94 setong bagi tempoh 20 hingga 24 April 2026, berbanding US$117.84 setong pada minggu sebelumnya. Namun, katanya perbandingan harga pada awal dan akhir minggu berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 6.5%.

The post MOF sedang teliti mekanisme subsidi diesel lebih bersasar untuk Sabah dan Sarawak – Fahmi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts