Continental Tyres melancarkan tayar CrossContact A/T2 di Malaysia, iaitu tayar all-terrain terbaru yang direka khas untuk kenderaan SUV dan 4×4. Menurut syarikat itu, tayar ini dibangunkan dengan fokus terhadap daya cengkaman dan ketahanan tinggi bagi menghadapi permukaan mencabar, tanpa menjejaskan keselesaan serta prestasi di jalan raya biasa.
Menurut Pengarah Urusan Malaysia merangkap Ketua ASEAN bagi Continenatal, Andrea Somorova, setiap tayar yang dihasilkan bermula dengan pemahaman mendalam terhadap keperluan pengguna. Malaysia sebagai pasaran penting di rantau Asia Pasifik memainkan peranan besar dalam proses pembangunan, mengambil kira keadaan jalan raya, gaya pemanduan dan faktor cuaca tempatan. Pendekatan berfokuskan pengguna ini diterapkan dalam pembangunan CrossContact A/T², khusus untuk pemandu yang bergantung kepada kenderaan utiliti dan 4×4 mereka.
Dari segi keupayaan, CrossContact A/T2 menawarkan tahap cengkaman yang dipertingkatkan ketika melakukan manuver berintensiti tinggi. Ini dicapai melalui gabungan reka bentuk bunga tayar yang lebih dalam, ruang kosong (void) yang lebih besar serta bucu tayar dengan fungsi pembersihan sendiri. Ciri-ciri ini membantu meningkatkan ketepatan pengendalian, kestabilan kenderaan dan cengkaman di permukaan lembut, tidak rata atau licin.
Sebagai tayar all-terrain, aspek ketahanan turut diberi perhatian. Corak bunga tayar yang lebih kukuh bersama dinding tepi yang diperkukuh direka untuk menahan hentakan kuat, sekaligus mengurangkan risiko tusukan, koyakan dan kerosakan ketika meredah laluan lasak. Selain itu, penggunaan kompaun khas BlackPaw Compound oleh Continental dikatakan mampu memberikan cengkaman yang adaptif mengikut keadaan jalan dan cuaca.
CrossContact A/T2 kini boleh didapati di semua pusat jualan rasmi Continental serta kedai dalam talian rasmi jenama itu di platform seperti Shopee, Lazada, TikTok dan Touch ‘n Go eWallet. Tayar ini ditawarkan dalam 42 saiz berbeza, meliputi rim 15 hingga 22 inci untuk SUV, 4×4 dan trak ringan. Ia juga menyokong keupayaan beban sehingga julat E, menjadikannya sesuai untuk kegunaan lasak termasuk di tapak kerja.
The post Continental CrossContact A/T2 kini tiba di Malaysia appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















