Menerusi acara automotif berprestij, Auto Chino 2026 yang sedang rancak berlangsung di Beijing, Xpeng G9 turut menjadi perhatian di booth XPeng, selain SUV EV flagship mewah GX dan juga sedan EV P7.
G9 yang merupakan SUV EV premium ini dikhabarkan bakal dibawa masuk ke pasaran ASEAN termasuk Malaysia dan Indonesia, dijangka sama ada pada suku ketiga (Q3) atau keempat (Q4) tahun ini. Dilancarkan pada awal Januari lalu di pasaran negara asalnya, dengan tiga varian iaitu RWD Standard Range, RWD Long Range dan model tertinggi AWD Performance yang ditawarkan pada harga dari ¥263,900 hingga ¥359,900 (RM175k – RM240k).
Bagi versi AWD Performance, ia diberikan dwi-motor dengan hamburan kuasa 567 hp dan tork 717 Nm yang mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 4.2 saat dan kelajuan maksima cecah 200 km/j. Manakala varian RWD Long Range dengan motor tunggal yang memacu roda belakang berkuasa 351 hp dan tork 465 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam 6.4 saat dan juga boleh capai kelajuan maksima seperti AWD Performance. Bagi RWD Standard Range pula, ia juga diberikan motor tunggal pacuan belakang 313 hp dan tork 430 Nm dan juga angka pecutan sama dengan RWD Long Range serta kelajuan maksima juga hingga 200 km/j.

Seperti mana barisan model terkini Xpeng, G9 2026 menampilkan platform silicon carbide (SiC) 800 voltan dengan pengecas ultra pantas 5C yang membolehkan status pengesan dari 10%-80% boleh dicapai dalam 11-12 minit. Varian AWD Performance diberikan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 93.1 kWh yang boleh memberikan jarak gerak hingga 585 km. Manakala dua varian bawahnya, RWD Long Range turut diberikan kapasiti bateri yang sama dengan AWD Performance dan bagi model asas RWD Standard Range dengan bateri berkapasiti 79.1 kWh.
Bersaing dengan model Tesla Model Y, NIO ES6 dan BYD Tang EV, G9 2026 ini berukuran 4,891 mm panjang, 1,937 mm lebar, 1,680mm tinggi dan jarak roda cecah 2,998mm, dengan kapasiti ruang but mencecah 660 liter.
Untuk rekaan luarannya, ia mengetengahkan konsep “X-BOT” untuk bahagian hadapannya, nampak futuristik tetapi masih menyerlahkan sentuhan mewah. Ia menampilkan jaluran pencahayaan LED lebar sepenuhnya dengan lampu utama di bawahnya dan gril tertutup yang masih menampakkan ciri aerodinamik. Bahagian sisinya pula diberikan pemegang pintu jenis “flush” dan pintu tanpa bingkai tingkap dan roda besar bersaiz 21-inci.

Untuk bahagian belakangnya pula, bagi memadankan pandangan dengan hadapan, ia juga diberikan jalur pencahayaan LED lebar sepenuhnya dengan diffuser yang lebih sporty. G9 2026 turut diberikan pakej penggayaan hitam secara pilihan yang merangkumi roda hitam, kemasan hitam serta kaliper brek berwarna jingga untuk mendapatkan kesan yang lebih kontras.
Menjengah bahagian kabinnya, Xpeng memberikan sentuhan yang minimalis tetapi kekal premium serta menggunakan 95% material sentuhan lembut pada segenap ruang dalaman. Antara ciri kelengkapan yang diberikan termasuklah dwi skrin 14.9-inci yang diletakkan secara ‘berkembar’ di bahagian tengah dan mengadap penumpang hadapan, kemas kini OTA, kawalan kuasa AI “Hey XPeng”, tempat duduk baluran kulit Nappa dengan fungsi pemanas, ventilasi dan mengurut untuk bahagian hadapan, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, bumbung panoramik kaca, sistem bunyi 5D Dynaudio dan banyak lagi.
Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, G9 2026 turut dilengkapi XPILOT/XNGP ADAS, dengan antara cirinya termasuklah Kawalan Keluncuran Adaptif (ACC), Bantuan Kekal Lorong, Pemantauan Titik Buta, Brek Kecemasan Autonomous (AEB), Amaran Pelanggaran Hadapan dan highway autopilot. Ia juga diberikan lebih kurang 31 sensor dan kamera dengan LiDAR serta cip AI untuk pemprosesan masa sebenar di mana ia boleh membantu kawalan stereng, brek dan pemanduan di lebuhraya cuma masih memerlukan perhatian sepenuhnya dari pemandu.
The post Xpeng G9 2026 di Beijing – AWD 567hp/717 Nm, jarak gerak hingga 585 km WLTP; bakal dilancar di Malaysia appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






























