Sejak smart #3 dan smart #5 didedahkan, kita tahu smart bukan lagi jenama yang khusus untuk model-model kompak seperti era smart ForTwo dan smart ForFour dahulu. Dan yang paling tak pernah disangka-sangka, smart mendedahkan sedan pertamanya di Auto China 2026 Beijing minggu lalu, yang digelar sebagai smart #6 EHD!
Ia bukan sekadar sedan, malah ia adalah sebuah sedan bersaiz besar dengan dimensi panjang 4,906 mm, lebar 1,922 mm, tinggi 1,508 mm dan jarak roda sejauh 2,926 mm. Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, cukuplah untuk kami petik bahawa smart #6 ini hanya 43 mm lebih pendek berbanding Mercedes-Benz E-Class.
Namun ia masih menerapkan rekaan dengan DNA smart generasi baharu. Ia termasuk bahagian kepala terutamanya pada fender dan penutup but direka seakan Mercedes-Benz A-Class dan lampu hadapan yang disekalikan dengan gril palsu hadapan. Bahagian belakang sedan ini direka seakan fastback di mana but bercantum terus dengan tingkap belakang yang boleh dibuka sekali, dan ia turut menampilkan spoiler but belakang yang boleh disorokkan.
Tidak seperti model-model generasi baharu smart lain yang digerakkan oleh hanya motor elektrik, smart #6 ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid yang digelar sebagai Electric Hybrid Drive (EHD). Sistem ini menampilkan enjin 1.5 liter empat silinder turbo BHE15-CFZ; macam pernah dengar bukan? Ya, ia adalah enjin yang sama di dalam model-model Proton seperti X50, X70, X90 dan S70, tetapi ditala dengan kuasa 163 PS dan tork 255 Nm.
Enjin berkenaan digandingkan dengan transmisi khusus hibrid (DHT) tiga kelajuan yang turut menempatkan motor elektrik bagi sistem hibrid tersebut. Secara keseleruhan kuasa yang dibekalkan mencecah 435 PS dan tork 645 Nm bagi memacu sepenuhnya roda hadapan.
Motor elektrik tersebut pula menerima kuasa dari bateri LFP yang ditawarkan dalam dua varian berbeza iaitu versi 20 kWj yang membolehkan ia bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 285 km dalam kitaran ujian CLTC (234 km dalam ujian WLTP yang lebih ketat), dan juga 41.16 kWj yang memberikan jarak gerak EV 1,810 km CLTC (1,484 WLTP).
Antara perincian menarik diberikan pada smart #6 ini termasuk sistem bunyi 2,000-watt dari Sennheiser dengan 20-pembesar suara, tiga skrin pada papan pemuka termasuk untuk penumpang dan juga sistem suspensi adaptif. smart #6 EHD ini bakal mula dijual di China pada bulan Jun dari RMB190k (RM110k)
The post smart #6 EHD didedah di Beijing – sedan segmen-D, enjin 1.5T sama seperti Proton, PHEV, 435 PS/645 Nm! appeared first on Paul Tan’s Automotive News.































