Model SUV baru Jetour T1 dijangka membuat kemunculan sulung di Malaysia tidak lama lagi selepas teaser terkini yang dikongsikan oleh Jetour Auto Malaysia menampakka bayangan sisi kenderaan tersebut. Perkembangan ini menguatkan lagi petunjuk bahawa pelancaran rasmi untuknya sudah hampir.
Sebelum ini, Jetour T1 pernah dikesan menjalani ujian jalan raya di sekitar Petaling Jaya Disember lalu, selepas terlebih dahulu dilihat di Bandar Baru Bangi sebulan sebelumnya. Kini, SUV tersebut disahkan akan dipertontonkan kepada umum di acara Penang Autoshow 2026 yang dijadualkan berlangsung dalam masa dua hari lagi.
Di pasaran China, Jetour T1 ditawarkan dengan dua pilihan enjin petrol turbo empat silinder, masing-masing berkapasiti 1.5 liter dan 2.0 liter. Kedua-duanya menghasilkan kuasa 184 PS dan 290 Nm tork, namun dibezakan melalui transmisi yang digunakan.
Enjin 1.5 liter dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan, manakala enjin 2.0 liter menerima transmisi automatik lapan kelajuan. Varian 2.0 liter ini juga merupakan spesifikasi yang digunakan dalam ujian keselamatan ASEAN NCAP, di mana model ini berjaya meraih penarafan lima bintang.
Dari segi saiz, Jetour T1 mempunyai panjang 4,706 mm, lebar 1,967 mm dan tinggi 1,845 mm, dengan jarak roda 2,810 mm. Berdasarkan penamaan model, T1 berada di bawah T2 dalam susunan barisan produk, dengan T2 tampil lebih besar dari segi dimensi keseluruhan.
Di China, Jetour T1 dijual pada harga antara 124,900 hingga 154,900 yuan, bersamaan kira-kira RM72,000 hingga RM89,000. Dengan kedudukannya sebagai model yang lebih kecil berbanding T2, persoalan kini adalah sejauh mana harga T1 akan lebih kompetitif apabila diperkenalkan di pasaran Malaysia nanti.
GALERI: Jetour T1 di Auto Shanghai 2025
The post Jetour T1 dalam teaser sebelum diperkenal di Malaysia appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


























