Hanya tiga minggu selepas Concept 97 diperkenal, Freelander mengejutkan dunia automotif apabila menunjukkan versi yang hampir sedia untuk produksi, dipanggil sebagai Freelander 8. Model ini dipertontonkan di acara Auto China sempena Chery International Business Summit yang berlangsung di Wuhu.
Berbeza sepenuhnya daripada imej asal Freelander sebagai SUV kompak Land Rover, model baru ini tampil sebagai SUV besar dengan tiga baris tempat duduk. Untuk memahami perubahan ini, perlu diketahui bahawa nama Freelander kini berada di bawah kawalan Chery selepas perjanjian dimeterai bersama rakan kongsinya pada tahun 2024.
Melalui kerjasama ini, Freelander dibangunkan sebagai jenama berasingan. Perkembangan ini turut memberi kesan besar kepada Jaguar Land Rover apabila jenama baru ini akan mengambil alih pengeluaran model-model JLR di kilang Changsha.
Dari segi reka bentuk, Freelander 8 masih mengekalkan sentuhan British dengan pasukan yang diketuai oleh Phil Simmons, yang pernah terlibat dalam pembangunan Freelander generasi pertama serta Range Rover L322. Tidak hairanlah jika rekaan model ini masih menyerupai DNA Land Rover, khususnya dengan elemen yang mengingatkan kepada Discovery 3 yang terkenal dengan gaya bersegi.
Versi produksi Freelander 8 banyak mengekalkan ciri Concept 97, walaupun beberapa elemen konsep yang terlalu futuristik telah digugurkan. Antaranya termasuk skema warna dua tona serta rekaan lampu hadapan dan belakang berasaskan paparan menegak.
Namun begitu, identiti utama seperti lampu hadapan berlapis, tulisan “Freelander” di bahagian depan dan belakang, pelindung bawah badan yang ketara serta kemasan hitam berkilat lengkuk roda masih dikekalkan. Lampu belakang pula kekal dengan bentuk segi empat nipis, manakala rim aloi bersilang kini bersaiz besar sehingga 22 inci.
Satu lagi elemen unik ialah tingkap tepi belakang berbentuk segi tiga yang diinspirasikan daripada Freelander generasi pertama versi tiga pintu. Reka bentuk ini begitu penting sehingga dijadikan logo jenama, melambangkan huruf F dan L.
Namun, beberapa ciri konsep seperti bumbung belakang boleh tanggal dan pintu jenis “suicide doors” tidak diteruskan dalam model produksi, digantikan dengan pintu konvensional serta pemegang pintu mekanikal biasa.
Bahagian dalaman Freelander 8 turut menampilkan teknologi moden dengan paparan skrin lebar penuh dari tiang A ke tiang A, menyerupai konsep paparan Panoramic Vision seperti yang dilihat pada model BMW terkini. Di bawahnya terdapat skrin infotainmen besar, kawalan pendingin hawa fizikal serta dua tombol putar untuk memudahkan penggunaan.
Demi keselesaan penumpang, barisan kedua boleh dilengkapi dengan tempat duduk kapten lengkap dengan fungsi pemanas, pengudaraan, urutan serta posisi “zero gravity” yang boleh dilaras dengan satu sentuhan. Barisan ketiga pula menggunakan konfigurasi dua tempat duduk konvensional, berbeza dengan konsep asal yang lebih mewah seperti ruang lounge.
Meskipun spesifikasi teknikal penuh belum diumumkan, Freelander 8 dijangka ditawarkan dalam varian elektrik dan plug-in hybrid selaras dengan penjenamaan sebagai kenderaan tenaga baru. Model ini juga bakal dilengkapi sistem Intelligent All-Terrain System dengan sembilan mod pemanduan off-road, serta ciri seperti differential tengah maya, differential belakang elektronik dan suspensi udara dual-chamber.
Freelander 8 merupakan model pertama daripada enam model baru yang dirancang untuk diperkenalkan dalam tempoh lima tahun akan datang. Kilang Chery JLR di Changsha yang akan menghasilkan model ini telah menerima pelaburan sebanyak AS$1.5 bilion, termasuk peruntukan besar untuk naik taraf menjadi fasiliti pengeluaran pintar.
Jenama Freelander dijangka memulakan pemasaran global di Timur Tengah sebelum berkembang ke 90 negara lain. Walaupun belum ada pengesahan rasmi untuk pasaran Malaysia, ujian prototaip di rantau Asia Tenggara telah dirancang dan model ini disasarkan untuk mencapai penarafan keselamatan lima bintang ASEAN NCAP.
GALERI: Freelander Concept 97 di Auto China 2026
The post Freelander 8 – SUV 3-baris tempat duduk elektrifikasi keluaran Chery-JLR, berkemungkinan ke ASEAN? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















































