MPV elektrik premium, Zeekr 009 menerima kemas kini terbaru, iaitu yang kedua selepas pembaharuan terdahulu pada Julai 2024. Versi facelift ini membuat penampilan sulung di acara Auto China (juga dikenali sebagai Auto Beijing), dengan tempahan awal sudah dibuka. Tiga varian akan ditawarkan kepada pelanggan, namun harga rasmi hanya akan diumumkan semasa pelancaran.
Dari segi perubahan, terdapat dua penambahbaikan utama yang diperkenalkan, dan menariknya, kedua-duanya tidak melibatkan perubahan besar pada rupa luaran. Hanya bampar hadapan direka semula dengan sedikit perubahan pada profil, khususnya di bahagian sudut di mana elemen krom mendatar pada saluran udara kini tidak lagi digunakan.
Perubahan kecil ini turut menyumbang kepada peningkatan panjang keseluruhan sebanyak lapan milimeter, menjadikan ukuran kini 5,217 mm. Dimensi lain seperti lebar 2,024 mm, tinggi 1,812 mm dan jarak roda 3,205 mm kekal tidak berubah.
Penambahbaikan pertama yang signifikan dapat dilihat pada aspek rangkaian kuasa. Ia kini dilengkapi binaan elektrik 900-volt, satu peningkatan daripada sistem 800-volt sebelumnya, yang juga merupakan naik taraf daripada sistem 400-volt ketika model ini mula diperkenalkan. Sistem 900-volt ini hanya tersedia pada varian Ultra+ yang hadir dalam konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk.
Melalui sistem baru ini, bateri NMC berkapasiti 115 kWh mampu dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa hanya 10 minit. Jarak pemanduan pula boleh mencecah sehingga 720 km mengikut standard CLTC apabila dicas penuh.
Selain itu, penggunaan sistem 900-volt membolehkan pemasangan motor elektrik yang lebih berkuasa. Varian dua motor, pacuan semua roda kini menghasilkan 925 PS dan 913 Nm tork, peningkatan ketara berbanding model sebelumnya yang mencatatkan 789 PS dan 810 Nm. Meskipun kuasa meningkat, pecutan 0-100 km/j kekal pada 3.9 saat, manakala kelajuan maksimum ditetapkan pada 220 km/j, sedikit rendah berbanding 230 km/j sebelum ini.
Sistem suspensi udara dual-chamber bersama kawalan redaman berterusan (CCD) masih dikekalkan. Bagi varian Ultra+, ia kini dilengkapi sistem dwi-injap yang memberikan tindak balas lebih pantas. Varian asas Ultra pula menggunakan sistem CCD satu injap bersama suspensi udara dan kekal dengan sistem elektrik 800-volt.
Varian Ultra asas ini hadir sebagai model tujuh tempat duduk dengan bateri NMC berkapasiti 108 kWh serta motor elektrik hadapan berkuasa 421 PS dan 440 Nm. Prestasi kekal dengan pecutan 0-100 km/j dalam 6.9 saat dan jarak pemanduan sehingga 740 km, namun kelajuan maksimum juga dihadkan kepada 220 km/j.
Penambahbaikan kedua tertumpu pada ruang dalaman. Secara visual, perubahan mungkin tidak begitu ketara selain stereng baru berbentuk bulat sepenuhnya dan konsol tengah yang dikemaskini dengan tombol kristal untuk kawalan media. Susun atur baru ini juga menyaksikan pemilih gear dipindahkan ke tuil pada belakang stereng.
Menurut Zeekr, penambahan ciri premium dilakukan bagi memastikan model ini kekal menjadi pilihan utama dalam kalangan pengguna korporat di China. Antara ciri baru ialah tempat duduk baris kedua bagi versi enam tempat duduk yang kini boleh diputar sehingga 45, 90 atau 180 darjah untuk fleksibiliti susunan kabin yang lebih tinggi.
Sistem audio juga dinaik taraf dengan penggunaan sistem Naim yang menampilkan 31 pembesar suara dengan kuasa maksimum 3,868 watt. Sistem ini dipadankan dengan sistem operasi Zeekr OS 7 yang kini menyokong lebih banyak fungsi kecerdasan buatan serta cip dwi Snapdragon 8295 bagi mengendalikan sistem infotainmen, termasuk skrin OLED 17 inci resolusi 3K untuk penumpang belakang serta paparan 10.25 inci dan 16 inci di bahagian hadapan.
Dari sudut teknologi pemanduan pintar, model ini menerima sistem G-ASD (Geely Afari Smart Driving) terkini daripada Geely. Ia dilengkapi 31 sensor bersama LiDAR yang kini menjadi standard bagi semua varian, digabungkan dengan cip Nvidia Thor-U berkeupayaan 700 TOPS.
Fungsi bantuan pemandu lanjutan (ADAS) turut dipertingkatkan, termasuk kawalan jelajah adaptif semua kelajuan, bantuan pertukaran lorong aktif, parkir automatik, parkir kawalan jauh, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong serta pemantauan titik buta. Kesemua ciri ini memastikan pengalaman pemanduan yang lebih selamat dan canggih sejajar dengan statusnya sebagai MPV elektrik premium.
The post Zeekr 009 facelift muncul di Beijing – sistem 900V baru, tempat duduk boleh pusing, sehingga 925 PS appeared first on Paul Tan’s Automotive News.











































