Sebelum ini ada desas-desus yang menyatakan bahawa Xpeng P7 bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia pada tahun ini. Namun ketika kami bertanya kepada Xpeng Motors sendiri ketika berkunjung ke ibu pejabatnya di Guangzhao kelmarin, wakil syarikat berkenaan berkata ada kemungkinan besar model ini sedikit lewat tiba di pasaran kita. Dan mereka merancang untuk memperkenalkan model SUV bersaiz besar (kami jangkakan ia sama ada GX atau pun G9) terlebih dahulu iaitu pada suku ketiga (Q3) atau keempat (Q4) tahun ini sebelum melancarkan P7.
Walau bagaimana pun, dalam masa yang sama, Xpeng turut mengesahkan akan mempertontonkan P7 ini di acara KLIMS 2026 yang bakal berlangsung pada Jun ini di MITEC. Bagai memberikan ‘hint’ bahawa sedan elektrik bersaiz besar ini mungkin akan memasuki pasaran tempatan sebelum 2026 melabuhkan tirainya. Namun difahamkan P7 yang bakal dipertontonkan di KLIMS 2026 adalah versi pemanduan sebelah kiri (LHD).
Untuk pengetahuan anda, di negara asalnya, China, model ini telah pun menerima versi baharu iaitu P7+ dengan tiga varian utama iaitu Long Range Max, Ultra Long Range Max dan Limited Edition Max. Di mana model asasnya mampu mengeluarkan kuasa sehingga 245 PS dan menerima bateri berkapasiti 60.7 kWh, manakala dua varian tertinggi pula mampu mencecah 313 PS serta diberikan bateri 76.3 kWh. Jarak geraknya antara 602 km hingga 710 km mengikut standard CLTC.
Selain Xpeng P7, turut bakal memeriahkan booth Xpeng di KLIMS 2026 kelak ialah model protaip kereta terbang Xpeng X2 dan juga robot IRON. XPeng X2 ialah kenderaan terbang elektrik (eVTOL) yang dibangunkan oleh anak syarikat XPeng AeroHT di bawah XPeng Motors. Ia dibangunkan sebagai pengangkutan bandar jarak dekat, penerbangan autonomi (tanpa pemandu) dan penggunaan peribadi.
IRON pula merupakan robot humanoid (berbentuk manusia) yang dibangunkan oleh XPeng Motors sebagai sebahagian daripada visi mereka dalam AI dan “future mobility” — bukan sekadar kereta, tapi robot serta kereta terbang. Diperkenalkan pada tahun 2024, IRON direka untuk bergerak, berfikir, dan berinteraksi seperti manusia dan ia juga “human-like robot” paling realistik setakat ini.
Ia berketinggian 178 cm dan seberat 70 kg serta mempunyai antara 60 hingga 82 sendi (degrees of freedom) yang sangat fleksibel. Ia memiliki tangan 22 DOF yang boleh memegang objek kecil termasuk telur dan otaknya dibantu oleh kecerdasan buatan AI dengan tiga cip Turing, serta memiliki sistem Vision 720° yang membolehkannya nampak sekeliling.
The post Xpeng P7 bakal dipertontonkan di KLIMS 2026 – disertai kereta terbang X2 dan robot IRON appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















