Hasil risikan penguatkuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah telah membawa kepada tangkapan dua individu yang disyaki terlibat dengan sindiket penyelewengan diesel dalam Ops Tiris 4.0 di Kota Kinabalu baru-baru ini.
“Hasil risikan tersebut, serbuan dibuat di sebuah stesen minyak dan membawa kepada penemuan dua kenderaan yang diubah suai dengan tangki tambahan (IBC). Diesel yang diisi bukan untuk kegunaan biasa, sebaliknya dipindahkan menggunakan hos dan pam elektrik untuk tujuan pengumpulan dan penjualan secara tidak sah.
“Lebih mengejutkan, setiap kenderaan dianggarkan membawa sekitar 800 liter diesel, dipercayai sebahagian daripada aktiviti terancang sindiket,” kata KPDN Sabah menerusi perkongsian di Facebook rasminya.
Tambah KPDN, dua individu tempatan turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan diesel yang dimiliki. Manakala jumlah rampasan pula mencecah lebih RM22,000, melibatkan kenderaan, tangki IBC, pam elektrik dan hos dan minyak diesel. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDN turut menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menyeleweng barang kawalan bersubsidi. Tindakan tegas akan terus diambil demi melindungi hak rakyat dan memastikan subsidi sampai kepada yang sepatutnya.
The post KPDN tahan dua lelaki di Kota Kinabalu kerana disyaki jual dan kumpul diesel bersubsidi secara haram appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















