Seperti yang diketahui, Porsche 911 sememangnya digemari ramai dan hadir dalam pelbagai pilihan mengikut citarasa. Daripada varian Carrera sama ada bumbung keras atau lembut, Carrera T yang lebih ringan, versi Targa, sehinggalah model berprestasi tinggi seperti Turbo S, barisan 911 menawarkan kombinasi yang luas untuk memenuhi kehendak pelanggan.
Namun begitu, terdapat satu konfigurasi yang tidak pernah ditawarkan sebelum ini, iaitu model GT3 dengan bumbung boleh lipat jenis lembut. Selama ini, varian GT dalam keluarga 911 hanya ditawarkan dalam bentuk coupe. Perkara itu kini berubah apabila Porsche 911 GT3 S/C diperkenalkan sebagai ahli baru dalam barisan GT.
Penambahan ‘S/C’ merujuk kepada ‘Sport Cabriolet’, dan menurut Porsche, model ini menggabungkan ciri pemanduan yang sebelum ini terdapat pada model edisi terhad seperti Porsche 911 Speedster dan Porsche 911 S/T. Model Speedster sebelum ini menggunakan bumbung fabrik yang perlu dikendalikan secara manual, namun pendekatan itu dianggap kurang praktikal untuk pelanggan masa kini.
Sehubungan itu, 911 GT3 S/C dilengkapi sistem bumbung lembut automatik yang diambil daripada varian Cabriolet. Bumbung ini boleh dibuka atau ditutup dalam masa kira-kira 12 saat, sama ada ketika kenderaan pegun atau bergerak sehingga kelajuan 50 km/j.
Dari segi kejuruteraan, penggunaan bahan magnesium secara meluas membantu mengawal pertambahan berat, menjadikan model ini hanya sekitar 30 kg lebih berat berbanding 911 Speedster meskipun dilengkapi mekanisme bumbung automatik. Selain itu, ia turut menerima elemen seperti ‘airblades’ sisi, bonet berliang dan spoiler belakang dengan Gurney flap seperti yang terdapat pada model S/T.
Reka bentuk keseluruhan pula kekal hampir sama seperti Porsche 911 GT3 semasa, termasuk spoiler hadapan, diffuser belakang dan lampu utama LED matriks yang direka untuk meningkatkan aliran udara ke bahagian hadapan. Menerusi program Porsche Exclusive Manufaktur, pelanggan juga boleh memilih pakej Street Style yang menambah grafik hiasan, lampu hadapan berwarna gelap serta kemasan badan khas.
Di bawah hud, model ini dikuasakan enjin 4.0 liter enam silinder mendatar NA yang mampu berputar sehingga 9,000 rpm, menghasilkan 510 PS dan 450 Nm tork. Tidak seperti GT3 biasa, tiada pilihan transmisi klac berkembar PDK ditawarkan, sebaliknya hanya transmisi manual enam kelajuan nisbah pendek disediakan, selari dengan fokusnya sebagai kereta pemandu tulen.
Konfigurasi tempat duduk juga terhad kepada dua tempat sahaja, berbeza dengan GT3 Touring yang boleh memuatkan empat penumpang. Dari segi prestasi, 911 GT3 S/C mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 313 km/j, setanding dengan GT3 manual meskipun ia merupakan sebuah model convertible.
Dengan berat sekitar 1,497 kg, model ini lebih berat berbanding 911 S/T yang hanya 1,380 kg, namun perbezaan itu tidak terlalu ketara memandangkan usaha pengurangan berat telah dilakukan melalui penggunaan brek Porsche Ceramic Composite Brakes, rim magnesium bersaiz 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang, bateri lithium-ion 40 Ah, serta komponen gentian karbon pada bonet, fender dan pintu.
Bahagian dalam pula menampilkan elemen serba ringan seperti karpet khas dan panel pintu dengan pemegang gentian karbon. Tempat duduk Sports Seats Plus boleh laras empat hala didatangkan sebagai standard, manakala pilihan tempat duduk bucket ringan turut disediakan.
Kabin dibalut dengan kulit hitam sepenuhnya, lengkap dengan logo ‘GT3 S/C’ pada bahagian belakang serta stereng dengan kemasan kulit berliang. Pilihan tambahan termasuk tombol gear kayu berlamina melalui program Exclusive Manufaktur.
Sebagai tambahan, Porsche turut menawarkan kotak simpanan ringan di belakang tempat duduk dengan kapasiti 80 liter, serta jam tangan khas Chronograph 911 GT3 S/C yang direka sepadan dengan kenderaan.
The post Porsche 911 GT3 S/C diperkenal – model GT pertama dengan bumbung lipat automatik, enjin NA 510 PS appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















































