Ketika pembentangan berkenaan rancangan jangka panjang Nissan Vision yang disiarkan secara langsung pagi ini, Nissan ada mendedahkan teaser untuk beberapa model akan datang, antaranya model generasi baharu bagi sedan premium Nissan Skyline.
Sebelum kita pergi lebih jauh, penulis sekali lagi mengingatkan bahawa ini adalah model pengganti bagi Nissan Skyline generasi ke-13 dengan kod V37 yang buat masa sekarang masih dijual di Jepun untuk tahun ke-12, bukan pengganti Nissan GT-R R35 di mana lencana berkenaan telah dipisahkan dari Skyline selepas generasi R34.
Tiada sebarang perincian disebut dalam pengumuman tersebut dan Nissan cuma menyiarkan beberapa gambar teaser untuk sedan tersebut. Antaranya pada bahagian belakang yang masih mengekalkan dua lampu bulat ikonik Skyline, serta skrip ‘Skyline’ yang mirip seperti skrip digunakan pada model generasi pertama Prince Skyline 1957.
Turut boleh dilihat bahagian sisi belakang termasuk pada pintu belakang Skyline yang mungkin digelar sebagai V38 ini menampilkan rekaan seakan pada model sedan empat-pintu Skyline ER34. Malah pada bahagian muka, Skyline generasi baharu ini turut menyerlahkan muka yang seakan menerima inspirasi dari ER34. Logo ‘S’ yang telah digunakan Skyline sejak model generasi C210 turut dilihat berada pada muncung Skyline generasi baharu ini.
Menurut pengarah rekaan global Nissan Alfonso Albaisa dalam laporan sebelum ini, Skyline generasi seterusnya berkenaan bakal membuat kemunculannya pada 2027. Albaisa turut menyebut bahawa Skyline akan menjadi model sedan berorientasikan prestasi, di mana ia masih akan digerakkan oleh enjin pembakaran dalaman, pacuan roda belakang dan Nissan turut akan menawarkan kotak gear manual sebagai pilihan.
Beliau juga menjelaskan bahawa posisi Skyline akan diletakkan antara dua kereta sport iaitu Nissan Z dan juga GT-R bagi membayangkan prestasinya. “Nissan Z pada satu bahagian, GT-R pada sebelah satu lagi – Skyline akan duduk di tengah-tengah,” kata Albaisa.
Untuk rekaan pula, Albaisa menjelaskan bahawa ia akan mengambil inspirasi dari Skyline generasi terdahulu, tetapi ia tidak akan tampil sebagai sebuah sedan dengan rupa yang retro. “Fikirkan besar, lebar dan gempal. Agresif dan tidak retro,” tambah Albaisa lagi.
Menurut Nissan, Skyline generasi baharu ini disasarkan hanya untuk pasaran domestik Jepun. Namun untuk pasaran luar, sedan ini mungkin akan terus dijual dengan jenama mewah Nissan iaitu Infiniti dan dikenali sebagai Infiniti Q50 seperti model generasi sedia ada.
The post Nissan dedahkan <em>teaser</em> Skyline generasi seterusnya; bakal tampil rupa inspirasi sedan Skyline ER34? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















