Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menempatkan anggota polis di lebih 80 stesen minyak berhampiran kawasan sempadan bagi memantau dan mengekang penyeludupan bahan api.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, langkah itu susulan arahan terbaharu Kabinet minggu lalu susulan konflik di Asia Barat yang berisiko memberi kesan rantaian terhadap bekalan dan harga barangan negara, laporan Bernama.

Beliau berkata arahan sudah diberikan kepada Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalia Ismail untuk tindakan lanjut termasuk mengatur penugasan anggota bagi mengawasi stesen minyak berhampiran sempadan, sekali gus memantau serta membanteras penyeludupan bahan api.

“Penglibatan pihak polis dalam mengawasi stesen minyak di sempadan ini bukan bersifat kekal. Apabila krisis berakhir, kita akan menilai semula peranan itu,” katanya baru-baru ini.

Laporan Astro Awani pula menyebut, Saifuddin turut berkata bantuan polis diperlukan bagi mengambil kira kekangan jumlah jentera penguat kuasa KPDN dan tuntutan keperluan pemantauan lebih terperinci status bekalan dan harga barang-barang di seluruh negara susulan konflik ini.

Polis ditempatkan di 80 stesen minyak sempadan untuk pantau dan kekang penyeludupan bahan api

“Fasa pertama bermula 20 Mac hingga 10 April 2026, penempatan secara statik penguat kuasa KPDN telah dilaksana di 87 stesen minyak, dan akan disusuli di 70 lagi stesen dalam fasa dua bermula minggu depan yang akan melibatkan anggota Polis.

“Kita akan terus memantau risiko dan keperluan peluasan lebih menyeluruh dari semasa ke semasa. Saya juga telah berbincang dengan menteri (menteri dalam negeri) untuk mempertimbangkan keperluan penglibatan sukarelawan RELA dalam proses pemantauan secara statik di stesen-stesen minyak ini,” katanya.

Tambahnya, langkah pemantauan ketat itu perlu memandangkan bebanan subsidi kerajaan untuk petrol dan diesel telah melonjak secara drastik susulan krisis di Asia Barat.

“Sebelum krisis bermula, kerajaan membelanjakan lebih kurang RM700 juta sebulan untuk subsidi petrol dan diesel secara bersasar. Namun, selepas krisis tercetus, tanggungan subsidi dua bahan api ini melonjak hingga hampir RM6 bilion sebulan,” katanya

The post Polis ditempatkan di 80 stesen minyak sempadan untuk pantau dan kekang penyeludupan bahan api appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts