Hyundai mengumumkan pelancaran rasmi jenama kenderaan elektriknya, Ioniq, di China sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kehadiran dalam pasaran EV terbesar dunia itu. Ketika ini, pengeluar dari Korea Selatan tersebut menawarkan dua model elektrik di China iaitu Ioniq 5 N dan EO (juga dikenali sebagai Elexio), manakala barisan model lain masih terdiri daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman seperti Palisade dan Elantra N.
Seiring dengan pengumuman tersebut, Hyundai turut memperkenalkan dua model konsep yang dibangunkan khas untuk pasaran China, dikenali sebagai Venus dan Earth. Kedua-dua model konsep ini bukan sahaja mencerminkan kesediaan Hyundai untuk bersaing dalam pasaran kenderaan tenaga baru (NEV), malah menjadi asas kepada sistem nama baru, di mana model Ioniq masa hadapan akan dinamakan sempena planet.
Hyundai turut mengetengahkan konsep yang lebih simbolik dengan menggambarkan pelanggan sebagai “matahari” dan kenderaan sebagai “planet” yang mengelilinginya. Gabungan ini membentuk apa yang digelar sebagai “Ioniq universe”, iaitu ekosistem mobiliti yang dibangunkan khusus mengikut keperluan pengguna tempatan. Antara teknologi yang dipamerkan termasuk sistem pemanduan autonomous yang dibangunkan bersama rakan tempatan, serta penggunaan teknologi EV range-extended (REEV).
Menurut Presiden Beijing Hyundai Motor Company, Li Fenggang, kedua-dua model konsep yang diperkenalkan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak produk yang akan dibangunkan berdasarkan pemahaman mendalam terhadap keperluan pengguna China.
Beliau turut menegaskan bahawa model produksi akan datang akan menggabungkan pengalaman pemanduan pintar dan kabin pintar yang menjadi keutamaan pengguna di negara itu, di samping mengekalkan piawaian keselamatan dan kualiti global jenama Ioniq.
Dari segi rekaan, konsep Venus digambarkan sebagai sedan ikonik yang diinspirasikan daripada keindahan planet paling terang. Ia tampil dengan kemasan warna Radiant Gold serta rekaan futuristik yang menonjolkan siluet satu lengkung bersama struktur bumbung unik.
Bahagian dalaman pula menggunakan tona warna hangat dengan pencahayaan berlapis bagi mewujudkan suasana seakan-akan atmosfera Venus. Turut melengkapkan ruang kabin ialah paparan skrin lebar bersaiz besar serta avatar interaktif dikenali sebagai “Lumi” yang berfungsi berkomunikasi dengan penumpang.
Sementara itu, konsep Earth pula diletakkan sebagai SUV dengan karakter lasak yang mencerminkan keseimbangan dan tenaga kehidupan planet Bumi. Ia menggunakan kemasan warna Aurora Shield dan menampilkan elemen rekaan lebih agresif seperti pelindung bawah badan (skid plate) serta perincian skru terdedah pada bentuk badan yang bersegi dan berotot.
Di bahagian dalam, Earth dilengkapi tempat duduk “air-hug” yang memberikan sokongan melalui modul udara lembut, selain lampu suasana yang diinspirasikan daripada bayang-bayang pokok untuk suasana lebih tenang.
Konsep ini turut menampilkan pendekatan “shy-tech” bagi mengurangkan gangguan visual, di samping membenarkan cahaya semula jadi masuk dengan banyak ke dalam kabin. Seperti Venus, Earth juga dilengkapi avatar tersendiri yang dinamakan “Aero”.
Walaupun Hyundai tidak menyatakan secara rasmi bahawa kedua-dua konsep ini akan memasuki peringkat produksi, terdapat kemungkinan besar ia akan direalisasikan sebagai model EV sebenar pada masa hadapan. Menurut laporan CarNewsChina, Hyundai dijangka memperkenalkan model produksi pertama Ioniq yang dibangunkan khusus untuk pasaran China pada acara Auto Beijing yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Dalam tempoh tiga tahun akan datang, jenama ini merancang untuk memperluaskan penawaran dengan pelbagai model EV dan REEV merangkumi segmen pertengahan hingga besar dalam pelbagai gaya badan.
The post Hyundai secara rasmi lancar jenama Ioniq di China – model konsep sedan Venus dan SUV Earth didedah appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




























