Minggu lalu UMW Toyota Malaysia membuat kejutan, kerana bukan sahaja ia buat pertama kali melancarkan model elektrik penuh (EV) ke pasaran tempatan, malah melancarkan terus tiga model EV.
Namun apa yang lebih memeranjatkan, harga yang ditawarkan untuk ketiga-tiga model tersebut yang disifatkan tidak kompetitif dan terlalu mahal. UMWT menawarkan EV Toyota Urban Cruiser iaitu SUV segmen-B yang direbadge dari Suzuki eVitara pada harga RM198,000, atau sekali ganda lebih mahal dari pesaingnya iaitu BYD Atto 2. Toyota bZ4X facelift pula ditawarkan pada harga RM220k, lebih mahal dari BYD Sealion 7 yang jauh lebih besar dan lebih berkuasa. Manakala Hilux EV pula ditawarkan pada harga RM226,300.
Walau bagaimanapun selepas harga bebas cukai untuk Langkawi diumumkan oleh UMW Toyota, boleh kita lihat harga untuk model-model tersebut bukanlah sengaja dijual pada harga terlalu mahal, tetapi ia adalah disebabkan struktur cukai untuk kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU) dan dari mana kenderaan tersebut diimport.
Di Langkawi Urban Cruiser dijual pada harga RM133,600, bermaksud kita di semenanjung perlu membayar RM64,400 atau 48% lebih mahal. Manakala bZ4X pula dijual pada harga RM153,000 di pulau bebas cukai berkenaan, bermaksud kita di semenanjung perlu membayar lebih RM67,000 atau 43.8% untuk memiliki SUV itu.
Bagaimana kerajaan mengira berapa cukai CBU yang perlu dikenakan ke atas kereta-kereta ini? Secara asasnya ia melibatkan 30% duti import + 10% duti eksais + 10% cukai jualan. Walau bagaimanapun untuk duti import, ia dipengaruhi oleh perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang telah ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dengan negara-negara lain.
Contohnya, jadual pengurangan tarif Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) menetapkan bahawa EV yang masuk ke rantau kita hanya akan dikenakan duti import 5%. Jadi EV yang diimport dari China akan dikenakan cukai CBU lebih rendah dengan hanya sebanyak 5%+10%+10% berbanding struktur standard 30%+10%+10% untuk EV yang diimport dari negara lain.
Tidak semua FTA adalah sama, misalny FTA yang ditandatangani ASEAN dengan China sangat berbeza dengan FTA yang kita persetujui bersama Korea Selatan. Dengan Korea Selatan, kereta berada dalam senarai ‘sangat sensitif’ jadi duti import kekal pada 30% untuk EV CBU dari jenama Hyundai dan Kia. Halangan tarif ini didirikan untuk melindungi industri tempatan daripada dibebani oleh import yang lebih kompetitif dari segi kos; namun semuanya bergantung pada ‘beri dan terima’ dalam rundingan. Jelas sekali, China telah mendapat kelebihan yang besar dalam hal melibatkan EV.
Seperti yang kita ketahui, China sememangnya merupakan juara dalam aspek menghasilkan EV yang baik dengan kos yang paling rendah. Bersama dengan FTA yang turut menyebelahinya, sebab itulah EV dari China dapat dijual pada harga yang sangat kompetitif di Malaysia.
Untuk Urban Cruiser, ia dibangunkan oleh Maruti Suzuki di India, dan hab pemasangannya juga berada di sana. Jadi Urban Cruiser yang diimport sepenuhnya dari India ini dikenakan cukai penuh 30%+10%+10%. Manakala untuk bZ4X yang dibawa dari Jepun, duti import yang dikenakan adalah sekitar 5% lebih rendah kerana FTA. Anda juga perlu ingat kiraan yang kami buat ini bukanlah benar-benar diperhalusi kerana ia tidak termasuk kos penghantaran tambahan ke Langkawi dan lain-lain.
Untuk Hilux EV, harga yang dijual di semenanjung Malaysia hanyalah RM16,800 atau 8% lebih mahal berbanding harga RM209,500 di Langkawi. Ini adalah kerana trak pikap merupakan kenderaan komersil yang sememangnya bebas cukai dan ia hanya dikenakan cukai jualan sebanyak 10%
Jadi apa yang kami mahu ketengahkan di sini adalah rendah atau tinggi harga sesebuah model itu kadangkala bergantung juga pada dari mana ia diimport kerana struktur cukai yang dikenakan tidak sama. Ya, walaupun tanpa cukai Urban Cruiser masih lagi mahal berbanding saingannya dari China, namun atas faktor-faktor lain ia masih nampak kompetitif untuk dijual di sini.
Anda juga perlu diingat bahawa masih ada model-model EV dari China dijual pada harga insentif kerana ia sampai ke sini sebelum akhir tahun lalu. Dan dengan penghantaran seterusnya nanti ia turut akan diperkenalkan dengan harga baharu.
Apa pun, harga-harga EV Toyota ini tentunya lebih rendah sekiranya ia dipasang secara tempatan di Malaysia. Namun antara perkara yang penting perlu difikirkan oleh UMW Toyota sebelum mengilangkan model-model berkenaan, adakah permintaannya kelak cukup besar bagi memastikan pelaburan untuk menyiapkan barisan produksi akan menghasilkan keuntungan, atau sekurang-kurangnya ‘balik modal’?
Apa pula pendapat anda? Kongsikannya bersama kami pada ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.
The post Toyota Urban Cruiser dan bZ4X EV terlalu mahal? Harga di Langkawi dedahkan ia kerana struktur cukai appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















