Nissan Serena memang sudah lama terkenal sebagai antara model MPV yang digemari termasuk di Malaysia. Ia mula diperkenalkan di pasaran tempatan sekitar 90-an dengan versi CBU dibawa masuk dan generasi awal dikenali sebagai C23 dengan rekaan berkotak dan pintu gelangsar manual, diikuti oleh C24, yang lebih moden dan mula mendapat sambutan lebih meluas.
Tahun 2018, ia mula dipasang di Malaysia oleh Edaran Tan Chong Motor (ETCM), termasuk memperkenalkan teknologi S-Hybrid yang lebih menjimatkan bahan api. KIni Serena melepasi enam generasi dan untuk model terkininya yang dilancarkan pada 3 Mac lalu, ia diberikan sistem hibrid e-Power dan MPV ini dikenali sebagai Nissan Serena e-Power C28 2026.
Seperti yang diumumkan sewaktu pelancarannya, barisan MPV hibrid ini ditawarkan dengan lima varian iaitu Serena X yang berharga bermula RM154,800, X Plus (dari RM159,800), Highway Star (dari RM169,800), Premium Highway Star (dari RM174,800) dan model spesifikasi penuh Shiro Premium Highway Star (dari RM179,800).
Ya, harganya memang agak mahal tetapi adakah pemilikan MPV hibrid ini berbaloi? Beberapa minggu sebelum pelancarannya, ETCM telah mengundang kami untuk memandu ujinya dengan pemanduan secara bergilir-gilir dengan tiga lagi rakan media permotoran, dari Petaling Jaya menuju ke Kuantan.

Sejujurnya sewaktu memandu buat pertama kalinya sekitar tahun 2014, penulis memang tertarik dengan corak pengendaliannya. Ada masanya memang tidak begitu terasa mengendalikan sebuah MPV, bagai memandu kereta sedan biasa. Dan perasaan teruja itu muncul sewaktu sekali lagi diberikan kesempatan untuk mengendalikannya…kali ini untuk model terkini C28. Power ke tidak e-Power itu?
Nadi utama Serena C28 ini ialah sistem hibrid e-Power generasi kedua. Tidak seperti hibrid konvensional, Serena dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik, memberikan tork segera dan pecutan lancar seperti kenderaan elektrik (EV). Bezanya, ia tidak perlu dicas menggunakan plug seperti EV.
Kuasanya dijana oleh motor elektrik berkuasa 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan tork 315 Nm yang memacu roda hadapan sepenuhnya, manakala enjin petrol 1.4 liter tiga-silinder tanpa turbo dengan hamburan 98 PS dan tork 123 Nm berfungsi semata-mata sebagai penjana. Dilengkapi dengan teknologi Mirror Bore Coating oleh Nissan, enjin ini beroperasi pada kecekapan optimum untuk mengecas bateri lithium-ion 1.77 kWh atau membekalkan elektrik terus kepada motor apabila diperlukan.
Hasilnya ialah pengalaman pemanduan seperti EV tetapi tanpa kebimbangan jarak perjalanan. Nissan mendakwa penggunaan bahan api sekitar 18.5 km seliter berdasarkan piawaian NEDC, yang membolehkan jarak pemanduan sehingga kira-kira 1,000 km dengan tangki penuh.

Dalam pemanduan bandar, Serena e-Power C28 terasa sangat lancar. Pada kelajuan rendah, enjin kebanyakannya masanya tidak aktif, membolehkan MPV ini bergerak dalam keadaan hampir senyap. Mod e-Pedal pula membolehkan pemanduan hampir menggunakan satu pedal, menjadikan situasi trafik berhenti dan bergerak (stop and go) kurang memenatkan.
Ketika memacunya di lebuhraya, MPV tujuh tempat duduk ini cukup menyerlahkan prestasinya. Enjin petrol lebih kerap beroperasi, dan pemanduan kekal lancar. Walaupun ketika mendaki laluan berbukit seperti Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak, Serena mengekalkan pergerakan yang stabil tanpa terasa terbeban, dan tiada isu bateri panas.
Selain tidak lokek memuntahkan kuasanya, antara fokus utama Serena e-Power C28 ialah memberikan keselesaan dalam pemanduannya. Untuk itu, Nissan telah memperkenalkan suspensi hadapan baharu berasaskan SUV dengan memberikan 20% ketegaran bagi meningkatkan kestabilannya. Selain itu, stereng kuasa elektrik turut dinaik taraf, kawalan brek yang dipertingkatkan serta penebat bunyi yang meluas di seluruh kabin. Cermin hadapan akustik turut membantu mengurangkan bunyi angin ketika memandu laju.
Gabungan penambahbaikan ini memberikan pengalaman pemanduan yang jauh lebih tenang berbanding model S-Hybrid sebelumnya. Tahap bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) dikawal dengan baik, dan MPV ini terasa lebih stabil di atas permukaan jalan yang tidak rata. Teknologi anti motion-sickness (bagi mengurangkan risiko mabuk perjalanan), termasuk penambahbaikan aerodinamik dan talaan casis yang lebih halus, memberikan kesan ketara terutamanya kepada penumpang belakang.

Walau bagaimana pun, jangan lupa bahawa Serena C28 ini tetap sebuah MPV. Ia masih sebuah kenderaan dengan reka bentuk berkotak yang tinggi. Jadi terasa agak kurang stabil ketika mengambil selekoh tajam pada kelajuan tinggi secara agresif. Jadi kenalah lebih berhati-hati dan beringat. Namun, jika dipandu secara berhemah, ia kekal stabil dan meyakinkan, terutamanya dalam perjalanan jauh di lebuhraya di mana ia menawarkan pemanduan yang santai dan selesa.
MPV ini berukuran 4,765 mm panjang, 1,715 mm lebar, 1,870 mm tinggi dan mempunyai jarak roda 2,870 mm. Sebagai perbandingan, model C27 yang terdahulu berukuran 4,790 mm panjang (berkemungkinan disebabkan reka bentuk muka hadapan yang lebih menonjol), 1,740 mm lebar, 1,865 mm tinggi dan jarak rodanya ialah 2,860 mm.
Dari segi reka bentuk, Serena C28 masih mengekalkan identiti model sebelumnya tetapi dengan gaya lebih moden. Gril V-Motion kini mempunyai susunan palang menegak dalam kemasan hitam atau krom dan diintegrasikan kemas bersama lampu utama LED projektor tiga elemen.
Bahagian bampar hadapan turut menerima lampu kabus LED bersaiz kecil dan liang sisi yang kini berfungsi sebagai tirai udara. Ia juga diberikan rim aloi bersaiz 16-inci yang dibaluti tayar berprofil 205/65 R16. Di belakang, lampu belakang berbentuk boomerang direka lebih nipis, manakala tailgate direka semula dengan logo Nissan dan tulisan “Serena” lebih rapat. Kemasan ruang plat pendaftaran juga diperkecilkan, bersama lampu kabus belakang LED di sisi kanan.
Dari sisi, bentuk keseluruhan Serena masih dikenali dengan garis tingkap yang berlekuk, namun garisan karakter yang sebelum ini bermula dari lampu hadapan dan menghala ke rel pintu gelangsar telah digantikan dengan garisan lurus yang bermula dari bampar depan.
Bagi kelengkapan kabinnya, Serena C28 ini diberikan papan pemuka yang lebih moden, menampilkan dua paparan bersaiz 12.3-inci iaitu satu berfungsi sebagai kluster instrumen digital dan satu lagi sebagai skrin sentuh untuk sistem infotainmen Nissan Connect. Sistem infotainmen ini menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, manakala penumpang belakang boleh menikmati monitor hiburan bersaiz 14-inci yang dipasang di siling.
Dalam sesi pandu uji, kami diberikan varian tertinggi iaitu Shiro Premium Highway Star, jadi kelengkapannya lebih premium, sesuai dengan namanya. Antara ciri kelengkapannya termasuklah tempat duduk Luxurious dengan balutan quilted kulit Nappa rona putih, paparan 14-inci yang terpasang di siling (motorised), enam unit pembesar suara dengan dua unit tweeter, kawalan suhu automatik dwi-zon dengan kawalan digital untuk barisan kedua serta corong udara untuk barisan ketiga dan banyak lagi.
Serena C28 ini masih cemerlang dari segi fleksibiliti. Ia menawarkan sehingga 13 konfigurasi tempat duduk, membolehkan pemilik mengutamakan ruang penumpang, kapasiti kargo atau keseimbangan antara kedua-duanya. Susun atur laluan tengah antara tempat duduk hadapan meningkatkan kemudahan pergerakan, manakala barisan kedua dilengkapi kerusi jenis “captain” yang boleh digerakkan dan direbahkan secara berasingan.
Sebagai penumpang di barisan kedua, memang keselesaan tidak dapat dinafikan. Rasa olengan ketika MPV dipandu merentasi laluan berselekoh agak minimal. Malah penulis yang mudah terkena ‘motion sickness’ sekiranya kenderaan dipandu dalam keadaan agresif atau melalui jalan berselekoh, tetapi ia tidak dirasai kerana Serena C28 ni kan ada ‘anti motion-sickness’.
Bagi yang tertanya-tanya di manakah terletaknya bateri lithium-ion, ia ditempatkan di bawah lantai iaitu di antara tempat duduk hadapan dan ada dua corong pengudaraan di situ. Sekiranya penumpang tidak perasan, dan meletakkan barangan menutupi corong berkenaan, risiko untuk menyebabkan bateri cepat panas boleh berlaku kerana saluran pengudaraannya terhalang. Jadi untuk bakal pemilik Serena C28, harap anda cakna dengan perkara ini.
Untuk aspek keselamatan pula, ia diberikan enam beg udara, sistem bantuan pemandu yang merangkumi amaran perlanggaran hadapan, brek kecemasan automatik, amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan lampu tinggi serta sistem kamera pandangan sekeliling.
Pakej pemanduan semi-autonomous ProPILOT Nissan turut ditawarkan sebagai standard yang terdiri daripada kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, serta intervensi titik buta yang memberikan bantuan stereng atau brek secara lembut apabila pemandu cuba menukar lorong sementara kenderaan lain dikesan berada di kawasan titik buta.
Selepas sebulan dilancarkan, ETCM memaklumkan pihaknya telah menerima 1,300 unit tempahan Serena C28 dengan 250 unit sudah diserahkan kepada pemiliknya. Walau pun harganya agak tinggi, namun ternyata MPV ini ada penggemarnya yang tersendiri.
Secara konklusinya, Nissan Serena C28 e-Power tidak cuba menjadi MPV mewah, dan juga tidak berpura-pura sebagai MPV sporty. Sebaliknya, ia memberi tumpuan sepenuhnya kepada perkara yang paling penting bagi keluarga iaitu keselesaan, kecekapan, ruang dan fleksibilitinya. Jadi inilah taruhan utamanya.
The post PANDU UJI: Nissan Serena e-Power C28 2026 memang power, cukup selesa tapi harga agak ‘kayangan’ appeared first on Paul Tan’s Automotive News.











































































