Perlumbaan pusingan Malaysia untuk siri Autobacs Super GT 2026 yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Jun ini mungkin akan dibatalkan, lapor Sportscar365. Portal sukan permotoran tersebut difahamkan bahawa pembatalan ini adalah permintaan dari kerajaan Malaysia kerana acara berskala besar berkenaan perlu ditangguhkan kerana ada potensi berlakunya kekurangan bahan api.
Menurut laporan itu lagi sekiranya pusingan Super GT 2026 di Malaysia ini dibatalkan, ia akan digantikan dengan pusingan yang akan berlangsung di Jepun. Pengumuman berkenaan pembatalan acara ini mungkin akan dibuat hujung minggu ini, iaitu ketika berlangsungnya pusingan pembukaan Autobacs Super GT 2026 di Litar Antarabangsa Okayama.
Bukan hanya potensi kekurangan bahan api, malah faktor lain seperti kos untuk pengangkutan barangan dan kakitangan yang kini sedang meningkat juga dilaporkan menjadi salah satu punca pembatalan perlumbaan di Malaysia berkenaan.
Perlumbaan Autobacs Super GT ini kembali ke Malaysia tahun lalu, iaitu selepas 12 tahun sejak kali terakhir ia diadakan di sini di mana Sepang pernah menganjurkan perlumbaan tersebut bermula musim 2000 hingga 2013. Menerusi perjanjian yang dimeterai pada 2024, Malaysia akan terus menganjurkan Super GT sekurang-kurangnya sehingga 2027, dan setakat ini ia merupakan satu-satunya pusingan Super GT terkini yang dilangsungkan di luar Jepun, dan yang pertama sejak 2019.
Sebanyak lapan pusingan perlumbaan dirancang untuk siri perlumbaan Super GT bagi musim 2026 ini, bermula dengan pusingan pertama yang dilangsungkan di Litar Antarabangsa Okayama pada 11 hingga 12 April. Sekiranya pembatalan ini tidak dibuat, Sepang akan menjadi perlumbaan pusingan ketiga Super GT tahun ini yang akan berlangsung pada 19 hingga 21 Jun nanti.
Seperti yang diketahui potensi untuk berlakunya kekurangan bahan api ini adalah kerana konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah buat masa sekarang. Sehingga kini konflik tersebut turut telah menjejaskan beberapa acara sukan permotoran termasuk pusingan di Bahrain dan Arab Saudi untuk Formula 1 tahun ini, manakala perlumbaan Qatar 1,812km dalam kalender World Endurance Championship terpaksa dijadualkan semula dari Mac ke Oktober nanti.
The post Autobacs Super GT 2026 Pusingan Malaysia mungkin dibatalkan kerana ada potensi kekurangan bahan api appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















