Jetour Malaysia memperkenalkan model edisi terhad untuk SUV segmen-C Jetour Dashing yang diberi nama sebagai Jetour Dashing Dark Warrior Limited Edition. Model ini diasaskan dari Dashing varian tertinggi iaitu Dashing Prime, kemudian diberikan perincian-perincian dengan tema gelap pada bahagian luaran bagi memberikan rupa yang lebih garang.
Paling menyerlah adalah warna badan model edisi terhad ini sendiri yang diberikan warna hitam matte. Ia diikuti dengan perincian lain termasuk emblem ‘Jetour’ dan ‘Dashing’ di hadapan dan belakang yang turut digelapkan, bersama rim aloi 19-inci ‘Phantom’ juga diberikan kemasan hitam. Untuk nampak lebih agresif, kesemua angkup brek diberikan serlahan kontra dengan kemasan merah menyala.
Selain dari itu, perincian lain adalah sama dengan Dashing Prime biasa. Ia termasuk lampu utama LED, DRL LED, lampu belakang LED, pintu but bukaan kuasa, sistem kunci pintar, penghidup enjin jarak jauh, upholsteri balutan kulit, tempat duduk hadapan larasan elektrik (pemandu enam arah, penumpang empat arah), panel instrumen digital 10.25 inci, skrin sesentuh 10.25 inci untuk infotainmen dengan hubungan Android Auto dan Apple CarPlay, pendingin hawa automatik dengan corong udara di belakang, pad pengecas 50W tanpa wayar, empat soket USB, bumbung panoramik, lampu suasana, enam pembesar suara, cermin sisi boleh lipat automatik dan pengelap cermin dengan penderia hujan.
Juga tiada perubahan dibuat pada unit rangkaian kuasa di mana model edisi terhad ini masih dijana oleh enjin petrol empat-silinder 1.5 liter turbo berkuasa 156 PS (154 hp) pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 230 Nm dari 1,750 hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi klac berkembar enam kelajuan untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan. Tiga mod pemanduan disediakan untuk unit rangkaian kuasa ini yang boleh dipilih pemandu mengikut situasi.
Untuk keselamatan pula Dashing Dark Warrior Limited Edition ini dibekalkan dengan sistem brek ABS, EBD dan BA, kawalan cengkaman, enam beg udara, sistem pemantau tekanan angin tayar, cagak ISOFIX, amaran lebih had laju dan empat pengesan undur. Ia juga datang dengan sistem bantuan pemanduan termasuk bantuan pemerhati parkir 360 darjah, paparan bawah badan 180 darjah, bantuan tukar lorong, pemantau titik buta, amaran tukar lorong dan amaran lintasan trafik belakang.
Jetour Dashing Dark Warrior Limited Edition pemasangan tempatan (CKD) ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM117,200, atau sama dengan harga Dashing Prime biasa ketika ia dilancarkan di Malaysia tahun lalu. Setiap pembelian model ini diberikan waranti kenderaan selama tujuh-tahun/150,000 km, waranti enjin selama 10-tahun atau 1,000,000 km dan servis percuma sebanyak lima-kali yang merangkumi kos upah dan alat ganti.
The post Jetour Dashing Dark Warrior Limited Edition dilancar di Malaysia – warna badan hitam <em>Matte</em>, RM117,200 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.














































































