Selepas sekian lama mengasingkan diri daripada segmen kenderaan pacuan empat roda (4×4) pseudo-lasak yang kini dikuasai jenama China, Geely akhirnya tampil menyertai persaingan menerusi model baru yang dinamakan Geely Galaxy Battleship 700. Pernah diperlihatkan sebagai model konsep Galaxy Cruiser di acara Auto Shanghai tahun lalu, model ini dijadualkan membuat kemunculan rasmi di Auto China di Beijing pada penghujung bulan hadapan.

Berdasarkan imej awal yang didedah, reka bentuk berkotak model ini jelas dipengaruhi oleh model ikonik seperti Land Rover Defender dan Ford Bronco, dan ia dilihat berjaya diterjemahkan dengan baik daripada versi konsep ke model produksi.

Antara elemen yang dikekalkan termasuk rekaan cermin sisi tegak, rupa cermin hadapan seakan melengkung ke tepi, garis tingkap unik, bahu badan yang lebar serta lengkuk roda bentuk petak yang menonjol. Bahagian hadapan pula menampilkan gril segi empat penuh lebar yang menempatkan lampu utama bulat, jalur lampu melintang serta logo Geely Galaxy yang bercahaya.

Geely Galaxy Battleship 700 – 4×4 dengan kemampuan AI, penggerak PHEV, kuasa sehingga 1,400 PS?

Beberapa ciri menarik lain yang turut dikekalkan ialah bampar hadapan berwarna perak dengan elemen seperti cangkuk penarik berwarna oren, pemegang pintu jenis tarik yang besar serta bonet dengan bukaan udara. Antara perubahan kecil yang tidak dibawa ke model produksi termasuk rekaan bonet jenis clamshell dan lampu tambahan, yang digantikan dengan elemen bulat. Selain itu, tayar gantian luaran juga kelihatan ada terlihat dalam beberapa imej yang didedahkan.

Bahagian dalam turut diperlihatkan secara ringkas, menampilkan tuil gear besar yang diinspirasikan daripada pendikit pesawat. Di sekelilingnya terdapat suis kawalan yang dipercayai untuk mod pemanduan dan mod offroad.

Di bawahnya pula tersedia deretan butang fizikal bagi mengawal pelbagai fungsi offroad seperti differential belakang berkunci, gear nisbah rendah serta fungsi pusingan setempat (tank turn) yang seakan ditawarkan oleh GWM Tank 300 dan GWM Tank 500.

Geely Galaxy Battleship 700 – 4×4 dengan kemampuan AI, penggerak PHEV, kuasa sehingga 1,400 PS?

Dari segi kuasa, Battleship 700 dijangka menggunakan penggerak plug-in hybrid berprestasi tinggi yang sama seperti Lotus Eletre X Hybrid dan Zeekr 9X. Sistem ini ditawarkan dalam konfigurasi dua dan tiga motor dengan kuasa mencecah 897 PS dan sehingga 1,400 PS, digandingkan bersama enjin petrol turbo 2.0 liter berkuasa 279 PS serta bateri NMC berkapasiti 55 kWh atau 70 kWh.

Menariknya, kenderaan ini turut dikatakan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menentukan sumber kuasa paling sesuai sama ada petrol, elektrik atau gabungan kedua-duanya bergantung kepada keadaan permukaan jalan.

The post Geely Galaxy Battleship 700 – 4×4 dengan kemampuan AI, penggerak PHEV, kuasa sehingga 1,400 PS? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts