Pemegang lesen memandu Malaysia yang telah tamat tempoh melebihi 36 bulan tidak layak menerima subsidi petrol RON 95 di bawah program Budi Madani (Budi95). Perkara ini dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, seperti dilaporkan oleh Bernama.
Menurut beliau, kelayakan untuk menerima subsidi Budi95 adalah bergantung kepada status lesen memandu individu. Sehubungan itu, semua pemegang lesen diingatkan supaya memperbaharui lesen dalam tempoh yang ditetapkan bagi memastikan kelayakan tidak terjejas.
Aedy Fadly menjelaskan bahawa lesen memandu yang masih aktif ditakrifkan sebagai lesen yang tidak tamat tempoh melebihi 36 bulan dari tarikh pembaharuan terakhir. Dalam tempoh tersebut, pemegang lesen masih layak menikmati subsidi berkenaan.
Namun, bagi lesen yang telah tamat tempoh lebih daripada 36 bulan, pembaharuan tidak boleh dilakukan secara automatik. Pemilik lesen perlu menduduki semula ujian kompetensi memandu di institut memandu yang diiktiraf sebelum layak mendapatkan lesen baru. Beliau turut menegaskan bahawa setiap individu yang memandu kenderaan bermotor wajib memastikan lesen memandu sentiasa sah dan belum tamat tempoh.
The post Lesen memandu tamat tempoh lebih 36 bulan tidak layak untuk petrol RON95 bersubsidi BUDI95 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















