Model SUV segmen B ini boleh dipanggil dengan pelbagai nama seperti Omoda 5, Omoda C5, O5 atau C5. Apa pun gelarannya, ia sekarang diberikan facelift buat kali kedua dan dipamerkan di acara Bangkok International Motor Show. Model ini sebenarnya sudah didedahkan pada bulan Oktober, dan Chery Malaysia juga turut mengesahkan bahawa ia akan memasuki pasaran tempatan dalam tahun ini.
Untuk bahagian luar, perubahan kali ini jelas lebih ketara. Bagi mereka yang kurang gemar dengan gril berlubang pada model asal, rekaan baru ini mungkin lebih menarik. Bahagian hadapan kini tampil dengan lampu utama yang lebih tirus, manakala bahagian “hidung” kelihatan lebih tajam dan tertutup sepenuhnya.
Reka bentuk ini dikenali sebagai “Robo Shark”, dengan sentuhan seakan bentuk kepala jerung. Menariknya, walaupun rupa hadapan ini sering dikaitkan dengan versi elektrik, laporan oleh Car Magazine UK menunjukkan bahawa versi enjin petrol juga menggunakan reka bentuk hampir sama, cuma dibezakan dengan bukaan kecil berbentuk slot di atas nombor plat.
Pendekatan ini selari dengan hala tuju baru Chery yang ingin menyeragamkan reka bentuk antara model enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV). Sebelum ini, versi petrol menampilkan gril besar dengan banyak bukaan, manakala versi EV menggunakan rekaan hadapan yang lebih tertutup seperti model terkini ini.
Di bahagian belakang pula, lampu LED kini menggunakan grafik berbentuk kilat yang lebih moden. Pintu but dan bampar belakang turut direka semula, dengan nombor plat dipindahkan ke bahagian bampar dalam lekukan berbentuk huruf V.
Masuk ke ruang kabin, perubahan lebih menyeluruh dapat dilihat. Tidak seperti facelift pertama yang masih mengekalkan reka bentuk dalaman asal, versi terbaru ini tampil dengan susun atur baru yang lebih moden dan futuristik. Stereng kini berbentuk bujur dengan dua tona warna dan rekaan dua jejari.
Skrin berkembar 10.25 inci telah digantikan dengan skrin sesentuh utama bersaiz 15.6 inci bersama panel instrumen digital 8.8 inci. Selain itu, terdapat pemegang tangan yang disepadukan dengan corong pendingin hawa tengah, serta pemegang cawan berbentuk heksagon. Keseluruhan susun atur dalaman memberikan rasa lebih menyelubungi pemandu.
Di pasaran Thailand, model ini ditawarkan hanya sebagai kenderaan elektrik penuh dan hadir dalam satu varian sahaja iaitu Max+. Ia masih menggunakan motor elektrik tunggal di hadapan yang menghasilkan kuasa 211 PS dan tork 288 Nm. Prestasi kekal sama dengan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.2 saat dan kelajuan maksimum 171 km/j.
Namun begitu, terdapat perubahan pada kapasiti bateri yang kini lebih kecil iaitu 50.6 kWh berbanding 61 kWh sebelum ini, menyebabkan jarak perjalanan mengikut standard NEDC menurun daripada 505 km kepada 422 km.
Dari aspek pengecasan, kadar pengecasan AC maksimum kini berkurang daripada 9.9 kW kepada 6.6 kW, manakala pengecasan pantas DC pula meningkat daripada 80 kW kepada 110 kW. Walaubagaimanapun, tempoh masa pengecasan rasmi masih belum diumumkan setakat ini.
Antara kelengkapan yang ditawarkan termasuk cermin hadapan dua lapisan dengan ciri pengurangan bunyi, sistem kamera 540 darjah, fungsi urutan pada tempat duduk pemandu, sistem audio dengan lapan pembesar suara Sony, suspensi belakang multi-link serta 19 fungsi bantuan pemandu (ADAS). Berdasarkan laman rasmi, harga model ini di Thailand berada dalam lingkungan 700,000 hingga 900,000 baht, iaitu sekitar RM85,000 hingga RM97,000.
The post Chery O5 facelift kedua di Bangkok – rekaan luar dan dalam baru, NEDC 422 km, sampai Malaysia tahun ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.







































